Pertembungan sengit PKR-BN dijangka di Ba’ Kelalan

Pertembungan sengit PKR-BN dijangka di Ba’ Kelalan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pertandingan bagi kerusi dewan undangan negeri Ba’ Kelalan akan menyaksikan pertembungan semula antara penyandang Baru Bian dari PKR dan calon Barisan Nasional Willie Liau dari SPDP.

Walaupun ketua PKR Sarawak itu melahirkan keyakinan untuk mempertahankan kerusi itu, para pemerhati politik berkata kedudukan beliau kali ini tidak begitu kukuh.

Pada pilihan raya 2011, Baru dapat menarik sokongan dengan berjanji untuk menyelesaikan isu Tanah Adat dan kontroversi yang timbul berikutan rampasan kitab Bible yang menggunakan kalimah “Allah” juga memberi kelebihan kepada beliau.

Dalam pertarungan antara kedua-dua calon yang berasal dari satu keluarga itu, Baru memperoleh 2,505 undi untuk menewaskan anak saudaranya dengan majoriti 473 undi. Pencapaian ini dianggap tidak memberangsangkan memandangkan Liau dipilih sebagai calon di ambang hari penamaan calon.

Kali ini, tiada lagi kontroversi berhubung penggunaan kalimah dan Liau mula melihat perubahan di kalangan pengundi, kebanyakan di Lun Bawang yang majoriti penduduknya menganuti mazhab evangelis seperti juga beliau dan bapa saudaranya.

“Kami tahu terdapat perubahan mood di kalangan rakyat dan saya yakin Saya boleh menang dengan bantuan ahli-ahli dan jentera parti di kawasan itu,” kata Liau.

“Pengundi di Ba’ Kelalan dahagakan pembangunan yang tidak mampu dilaksanakan oleh pembangkang.

“Berdasarkan maklum balas di peringkat bawahan, kita tahu bahawa rakyat tidak berpuas hati dengan isu pampasan kepada pemilik tanah NCR di kawasan-kawasan yang terlibat dengan projek saluran paip Gas Sabah-Sarawak.

Liau juga menarik perhatian kepada faktor “selesa” yang dicetuskan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang melaksanakan lebih 50 inisiatif termasuk pemansuhan tol dan cukai tanah, menangani isu pembalakan haram dan rasuah dan menyediakan lebih banyak bantuan kepada rakyat berpendapatan rendah selain berusaha bagi bagi memperkasakan pentadbiran negeri.

Sebaliknya, Baru berpendapat beliau telah melakukan yang terbaik untuk mengekalkan Ba’ Kelalan dengan majoriti yang meningkat.

“Saya yakin (untuk mendapat majoriti yang lebih besar) tetapi saya tidak boleh memandang rendah kepada pengundi kerana mereka bermaklumat dan cukup matang untuk membuat keputusan untuk menyokong siapa.

“Saya tidak memandang remeh … Ia adalah pilihan raya yang sukar dan Ba’ Kelalan adalah kerusi panas,” katanya ketika ditemui di pusat operasi PKR di sini.

Baru juga yakin PKR dapat mempertahankan dua kerusi lain, Batu Lintang dan Krian, sebagai ‘suara rakyat’ dalam dewan undangan negeri bagi sejak lima tahun lepas.

Ba’ Kelalan, yang terletak di kawasan tanah tinggi di utara terkenal dengan tananam buah epal dan sayur-sayuran organik selain sawah padi yang menghijau dan udara segar di pergunungan.

TAGS