Pertemuan 4 mata sebagai jalan penyelesaian, kata Ketua Armada Bersatu

Pertemuan 4 mata sebagai jalan penyelesaian, kata Ketua Armada Bersatu

Syed Saddiq Syed Abdul RahmanBekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad digesa mengaturkan pertemuan dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskanddar untuk mengendurkan pertikaian projek Forest City di negeri itu.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tidak setuju dengan pandangan sesetengah pihak agar untuk menahan Dr Mahathir atas sebab kenyataan terbaharuny mengenai pelaburan dari China itu.

“Secara jujur & ikhlas, saya tidak percaya wujudnya keperluan untuk kita memecah-belahkan dua pemimpin Malaysia yang dihormati.

“Tuanku Sultan Johor dan Tun Dr Mahathir adalah pemimpin dan negarawan yang dihormati serta disegani rakyat.

“Perbezaan pendapat di antara pemimpin adalah perkara biasa akan tetapi perbezaan pendapat ini mampu diselesaikan secara baik,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru beliau membantah seruan yang dibuat oleh sesetengah pihak untuk menahan Dr Mahathir atas sebab kenyataan terbaharu beliau mengenai Forest City ini kerana kenyataan tersebut ujarya, sama sekali tidak mempunyai sebarang unsur hasutan tetapi hanyalah fakta fakta yang dipetik daripada laman berita Bloomberg bertarikh pada 22 Nov 2016 serta pandangan peribadi beliau terhadap laporan tersebut.

“Adalah amat tidak wajar jika Tun ditahan kerana kenyataan terbaharu beliau itu. Ini tidak sama dengan kes penyelewengan wang rakyat yang dilakukan oleh ahli politik.

“Saya juga menentang sekeras-kerasnya penggunaan kata kata kesat terhadap Tuanku Sultan Johor oleh sesetengah penyokong terhadap isu ini.

“Kita bangsa yang beradab, bukan bangsa yang biadap,” ujarnya yang berpandangan tindakan seumpama ini tidak akan menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul malah hanya akan memburukkan keadaan semasa

Justeru kata Syed Saddiq lagi isu ini haruslah dikendalikan secara professional dan berhemah.

“Saya dengan rendah diri menasihati supaya Tun dan Tuanku Sultan membuat pertemuan empat mata dan saya percaya bahawa Tuanku dan Tun mampu mencari titik pertemuan dalam permasalahan ini.

“Kepentingan dan kedaulatan negara serta jajahan takluk negeri Johor di bawah pemerintahan Tuanku Sultan haruslah sentiasa menjadi keutamaan tertinggi,” ujar Syed Saddiq yang juga anak kelahiran Johor ini.

TAGS