Pertemuan dengan Dong Zong sesuatu yang bagus

Pertemuan dengan Dong Zong sesuatu yang bagus

Naib Presiden AMANAH, Dr Siti Mariah Mahmud menyifatkan pertemuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dengan Dong Zong adalah sesuatu yang bagus kerana mempunyai sesi dialog.

Untuk makluman, Dr Siti Mariah dan Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin antara yang hadir dalam pertemuan yang berlangsung pada Rabu lalu.

Dr Siti Mariah berkata, sebarang soalan yang ditanya pihaknya ketika pertemuan itu, dijawab satu persatu oleh pihak Dong Zong.

“Pertemuan itu bagus, kita nak apa pun (bertanya) dia bagi tahu. Saya juga banyak bertanya tentang benda-benda lain.

“Bagi saya, mereka (Dong Zong) perlu diberikan peluang untuk menjelaskan tentang perkara itu (isu tulisan Jawi).

“Tetapi, tak tahulah mungkin salah faham yang disengajakan atau sengaja mahu memburukkan mereka.

“Mereka sudah memperjuangkan bahasa dan sekolah mereka, tentunya mereka mahu mencapai sesuatu,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Dr Siti Mariah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan beliau terhadap pertemuan yang melibatkan isu kontroversi itu.

Ditanya apakah intipati dalam pertemuan itu, Dr Siti Mariah berkata pihak Dong Zong cuma tidak jelas mengenai kaedah pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dan bukannya menentang.

“Saya antara yang banyak tanya soalan kepada mereka. Apa sebenarnya isu Jawi ini? Mereka menjelaskan, Jawi memang sudah ada dalam Tahun 5 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) dan SJK (Tamil), memang sudah ada dalam silibus yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), mereka tunjuk buku itu kepada kita.

“Tetapi pada masa itu, ianya seperti pembelajaran budaya iaitu di bawah satu topik. Bermakna, ianya mengenali masyarakat, ada tulisan Jawi, India dan Cina.

“Tetapi apabila KPM memperkenalkan tentang tulisan Jawi untuk darjah 4 itu, dia kata ianya masuk di bawah seperti kurikulum, bermakna ada peperiksaan.

“Jadi Dong Zong minta konsep pelaksanaan itu dibincangkan kerana mereka tidak jelas mengenai kaedah tersebut. Sebenarnya mereka tidak menentang.

“Mereka bimbang mengenai beban ke atas murid-murid sekolah rendah kerana murid-murid ini maklumlah, dengan bahasa ibunda mereka sendiri dan penggunaan Bahasa Melayu mereka pun di tahap yang rendah,” jelasnya lagi.