Pertemuan Puchong adalah majlis perpisahan ‘Team Lawan Jebon’, kata Dr Atiullah

Pertemuan Puchong adalah majlis perpisahan ‘Team Lawan Jebon’, kata Dr Atiullah

Dr. Muhammad Atiullah Othman mendedah pertemuan sebenar di Puchong pada malam audio Nik Mohamad Abduh dirakam adalah majlis perpisahan kumpulan ‘Lawan Jebon’ daripada seluruh Malaysia.

Beliau berkata, pertemuan pada malam itu mempunyai dua kumpulan iaitu kumpulan di bawah pengaruh Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (At Takiri) dan satu kumpulan lagi di bawah pengaruh Ustaz Zaharudin Muhamad (UZM).

“Tujuan pertemuan kami ialah majlis perpisahan untuk bersemuka dengan pemimpin tertinggi Pas Nasrudin Hassan At-Tantawi (Tantawi) dan At-Takiri .

“Lebih jauh tersasar ada yang kata, ini mesyuarat sulit Ustaz Nik Abduh (UNA) dan UZM sehingga semua yakin dan menuduh UZM yang rakam dan sebar. Justeru, hanya mereka berdua sahaja dalam pertemuan itu,” katanya.

Tambahnya, antara sebab kumpulan Lawan Jebon dibubarkan adalah kerana pendedahan Zaharudin berkenaan beberapa individu yang terlibat mengambil duit Umno.

“Hanya malam itu, baru kami tahu sebab pembubaran.

“Apa yang kami tahu sebelum itu, team ini dibubarkan dengan tuduhan kami adalah “jemaah dalam jemaah”. Malam itu baru kami tahu isu sebenar, dan barulah kami faham, kami dibubarkan sebab team UZM telah mendedahkan perbuatan 2 hingga 3 individu ini berkaitan dengan dedak,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Atiullah pihaknya tidak dimaklumkan kedatangan Nik Abduh pada malam itu kerana beliau tiada kaitan dengan pertemuan itu tetapi kebetulan Takiri dan Tantawi datang daripada Parlimen Ahli Parlimen Bachok itu ikut serta.

“Walaupun beliau tidak diundang, tetapi pengakuan dan emosinya pada malam itu (sebagaimana yang terdapat dalam audio tersebut) sangat mengejutkan kami dan di luar pengetahuan kami.

“Kandungan ucapan UNA bukan sesuatu yang kami harapkan kerana perjumpaan tersebut merupakan Majlis Perpisahan dan Pembubaran Team Lawan Jebon.

“Biarlah orang nak kata apa tetapi kedatangannya sebenarnya tidak dialu-alukan. Saya bertanya kepada UNA, “Dari mana ni?”. Dia bagi jawapan bahawa dia dari parlimen dan tumpang kereta Takiri untuk datang ke sini,” katanya.

Kedatangan UNA, katanya, tiada apa-apa manfaat kerana soalan-soalan yang beliau ingin tujukan hanya kepada Tantawi dan Takiri.

Bahkan, katanya, kedatangan UNA merosakkan majlis perpisahan mereka apabila UNA melenting dengan memperakui menerima duit Umno.

“Apabila UZM membacakan dalil, UNA melenting lagi dan meminta berhenti. UNA turut menyebut kepada UZM, “kalau anta (UZM) tak setuju terima duit Umno, teruskan. Ana (UNA) dengan pendirian setuju terima duit Umno”. Kemudian, UNA angkat punggung dan keluar dengan amukan. Majlis berakhir dengan kebingungan,” ujarnya.

Bagaimanapun, bagi Atiullah sekalipun Nik Abduh datang tanpa diundang, tetapi kenyataannya itu jelas menunjukkan Tantawi dan Takiri menipu mereka bahawa kononnya mereka mempertahankan kumpulan ini.

“Tetapi akhirnya UNA sendiri mendedahkan mereka berdua ini termasuk dalang pembubaran. Malah, tujuan kami bertanyakan kepimpinan tertinggi mengenai sebab kami dibubarkan juga tidak kesampaian.

“Kesimpulan majlis perpisahan pada malam itu, 3 individu ini suka berbohong dan mereka ambil duit Umno atas nama parti tetapi tanpa pengetahuan Parti. Disebabkan keborosan mereka mendedak, Sarawak Report terus mendapat nafas menangguhkan dengan bukti bukti perbuatan mereka termasuk audio tersebut.

“Kesannya ahli terpaksa tampung kos dan akhirnya selesai luar mahkamah akibat tidak mampu menanggung kos untuk jangka panjang,” ujarnya.