Pertemuan Trump dan Kim satu usaha yang baik, kata Mohamad Sabu

Pertemuan Trump dan Kim satu usaha yang baik, kata Mohamad Sabu

Malaysia menyambut baik rundingan menangani krisis nuklear yang dijangka berlangsung antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Singapura pada 12 Jun ini, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

“Ia satu usaha yang baik. Kita tidak mahu (ia berulang) di rantau (Asia) ini.. kita ada experience.. mengenai (pengeboman) ke atas Hiroshima and Nagasaki.

“Itu adalah teknologi 70 atau 60 tahun dahulu. Kita tidak tahu teknologi nuklear sekarang. Ia amat berbahaya kepada umat manusia. Sebarang usaha ke arah denuklearisasi… kita akan menyokong sepenuhnya,” kata beliau kepada media di luar acara Dialog Shangri-La (SLD) edisi ke-17 di Singapura hari ini.

Menurut Presiden Amanah itu, dengan adanya pertemuan antara Trump dan Kim “itu sudah mula satu usaha yang baik.”

Ketika diiminta mengulas ucapan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, James Mattis di SLD yang dilihat agak ‘keras’ terhadap China di Laut China Selatan, Mohamad berkata, kerajaan sentiasa mengekalkan dasar berkecuali dan itulah yang diperjuangkan sejak kepimpinan Tun Abdul Razak.

“Kita tidak mahu sebarang pertembungan berlaku di Laut China Selatan. Kita amat bimbang mengenai apa yang berlaku di sana,” kata beliau yang dipetik Bernama.

Mohamad yang menarik perhatian bahawa ASEAN akan sentiasa mengadakan dialog dengan China dan Amerika Syarikat.

Dalam ucapannya, Mattis dengan lantang bersuara terhadap dasar militerisasi Beijing ke atas pulau-pulau buatan di kawasan tersebut.

Sementara itu, kehadiran Mohamad ke SLD sebagai Menteri Pertahanan yang baharu dianggap sebagai peluang baik untuk berkenalan dengan rakan sejawatannya di Asia dan juga Amerika Syarikat, New Zealand, Australia, Perancis dan Britain.

“Ia membolehkan saya membina hubungan dengan cepat,” kata Mohamed yang dilantik ke portfolio itu kurang dua minggu lalu.

Semalam, beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Mohamad dijangka bertemu dengan Mattis pada Ahad.

6.7
OVERALL SCORE
2 user votes x 10.0
CATEGORIES