Malaysia Dateline

Pertikai kuasa Agong: CIJ gesa tarik siasatan terhadap UMANY

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mengecam siasatan yang dijalankan ke atas Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) selepas pertubuhan pelajar itu mempertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam urusan politik negara.

Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah G. Naidu menggesa agar pihak polis dan UM untuk menghentikan segala siasatan terhadap UMANY.

Beliau menegaskan, hak untuk menyatakan pandangan secara bebas tanpa rasa takut akan campur tangan atau penganiayaan, adalah bahagian terpenting dalam demokrasi.

“Kebebasan bersuara tidak sepatutnya dihukum kerana aktivis berkenaan hanya membincangkan mengenai kesan dari keputusan yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan.

“Kebebasan bersuara jelas termaktub di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan dalam Perlembagaan Persekutuan. Had kebebasan bersuara mengikut undang-undang perlu ditentukan dengan jelas dan terperinci,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, UMANY telah memuat naik satu hantaran di laman sosial Facebooknya bertajuk “Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal negara”.

Susulan itu, UM dalam satu kenyataannya memaklumkan akan menjalankan siasatan berhubung hantaran itu dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pertubuhan pelajar berkenaan.