Malaysia Dateline

Pertikai sistem beraja seperti makhluk perosak, tikus baiki labu

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengecam pihak tertentu yang mempertikaikan sistem pemerintahan beraja dan kedudukan Raja-raja di negara ini.

Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu mengibaratkan mereka terbabit sebagai golongan yang hendak membetulkan sesuatu tetapi tiada ilmu pengetahuan dan menyebabkan kerosakan yang semakin teruk.

“Mereka yang cuba merungkai sistem beraja wajib ditentang habis-habisan kerana mereka laksana makhluk perosak, tikus yang membaiki labu,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian dalam artikel panjangnya, Minda Presiden yang dikongsikan di Facebook rasminya hari ini.

Beliau juga mengingatkan situasi demokrasi Barat yang dakwanya sedang jatuh merudum apabila negara mereka dibejati dengan rasuah, politik wang, mafia, kongsi gelap, samseng dan sebagainya.

“Sehingga keadaan tersebut menyebabkan mereka bertindak memaksa dan menipu rakyat, kerana politik yang diamalkan itu berpisah daripada panduan agama,” katanya lagi.

Untuk rekod, New Zealand dan Denmark menduduki tangga tertinggi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ke-23 bagi 2020 kerana rendahnya amalan rasuah di dua negara itu dengan skor 88 daripada 100.

Malaysia pula berada pada kedudukan ke-57 daripada 180 negara, turun enam anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

Negara mencatatkan skor 51 daripada 100 untuk 2020 berbanding 53 pada 2019. Pada 2018, kedudukan CPI Malaysia naik 10 anak tangga pada kedudukan ke-61 dengan skor 47 daripada 100 mata.

Sementara itu, negara yang dibelenggu pertelagahan, peperangan dan konflik termasuk negara yang dikaitkan dengan Islam berada di kedudukan 10 negara tercorot dalam CPI 2020.