Malaysia Dateline

Pertikaian Maritim: Pegawai Singapura-Malaysia akan bertemu pada minggu kedua Januari

Singapura mengalu-alukan persetujuan Malaysia bahawa para pegawai bertemu pada minggu kedua Januari 2019 untuk bertukar-tukar pandangan bagi menyelesaikan isu had pelabuhan Pelabuhan Johor Bahru, menurut Kementerian Luar Singapura (MFA).

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Kementerian itu berkata Singapura menyambut baik bahawa Malaysia telah mengambil semua langkah yang efektif untuk meredakan ketegangan, dan menangani keadaan secara tenang dan aman.”

Pada masa yang sama, Singapura “mengulangi seruannya ke Malaysia untuk kembali ke status quo sebelum 25 Oktober 2018.

“Ini akan mengelakkan salah faham dan isu-isu yang berpotensi daripada berbangkit. Kehadiran Malaysia di kawasan ini tidak akan mengukuhkan tuntutan perundangannya dan hanya boleh meningkatkan ketegangan.

“Malaysia akan bertanggungjawab terhadap sebarang keadaan tidak diingini yang timbul akibat penempatan kapal-kapalnya secara berterusan di kawasan ini,” kata kementerian sebagai mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Malaysia malam tadi.

Kementerian berkata republik itu “kecewa bahawa Malaysia tidak dapat menyetujui cadangan Singapura untuk kembali ke “status quo” sebelum 25 Okt, 2018.”

Terdahulu hari ini, Kementerian Luar Malaysia berkata “Kerajaan Malaysia tidak dapat menyetujui cadangan balas Singapura.”

Malaysia pada 8 Dis mencadangkan supaya kedua-dua negara menghentikan dan menghalang daripada menghantar aset ke kawasan yang dipertikaikan berkuatkuasa jam 0000 pada hari yang sama bertujuan untuk meredakan ketegangan sementara menunggu perundingan mengenai isu-isu sempadan laut yang belum selesai.

Tetapi cadangan itu ditolak oleh Singapura.

Dalam kenyataan Kementerian Luar Singapura, ia memaklumkan bahawa pada 7 Dis, Menteri Dalam Negeri merangkap Menteri Undang-undang K Shanmugam dan Peguam Negara Lucien Wong bertemu dengan Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas untuk membincangkan isu-isu ini dan isu lain.

MFA berkata para pegawai Singapura mencadangkan kepada Peguam Negara Thomas bahawa “Malaysia kembali ke status quo sebelum 25 Okt, 2018, tanpa menjejaskan pendirian Malaysia dan Singapura mengenai sempadan laut antara kedua-dua negara di kawasan itu yang Malaysia tuntut sekarang.”

“Tuntutan sempadan laut boleh dibuat di bawah undang-undang antarabangsa, mengikut prosedur yang ditetapkan tanpa memerlukan kapal-kapal berada berdepan satu sama lain,” kata kenyataan itu.

Sementatra itu, Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir dilaporkan berkata bahawa Malaysia akan kekal meletakkan kapal-kapal miliknya di kawasan perairan yang dipertikaikan di sepanjang sempadan laut Malaysia-Singapura.

Dr Mahathir berkata kapal milik negara akan terus berada di sana sehingga proses perundingan mengenai sempadan laut antara kedua-dua negara selesai.