Pertikaian SJKC, kualiti pendidikan dan isu perkauman

Pertikaian SJKC, kualiti pendidikan dan isu perkauman

Perkauman menjadi dilema rakyat Malaysia antara idealisme dengan realiti. Kita sedar bahawa hakikatnya dunia lebih luas jikalau kita berfikir di luar kerangka perkauman, pada masa yang sama kita juga diingatkan bahawa mustahil perbincangan kita memenuhi keperluan massa andainya kita tidak menyentuh sentimen perkauman.

Perkara ini amat terkesan buat diri saya ketika mempengerusikan sesi perkongsian pengalaman lepasan sekolah Cina dan ibu bapa Melayu yang menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina. Antara yang dipersetujui semua, disiplin sekolah Cina lebih ketat, dan pendekatan guru yang lebih mengambil berat perkembangan anak murid. Padahal, faktor-faktor inilah yang mendorong mereka untuk menghantar anak mereka ke sekolah Cina.

Apabila perbincangan diperincikan, panelis selaku seorang bapa menyatakan persetujuan untuk menyerahkan kuasa “merotan anak” kepada guru, agar anaknya diasuh dengan disiplin yang tinggi. Lepasan sekolah Cina yang berketurunan Melayu pula bersyukur, kerana kerja rumah yang berat telah mengasuh dirinya sejak kecil sehingga beliau tidak berdepan dengan masalah dengan assignment yang banyak ketika melanjutkan pengajian tinggi.

Namun, saya yang mengikuti perbincangan dalam bahasa Cina untuk sekian lama, ingin menambah bahawa terdapat perbahasan yang hangat dalam kedua-dua isu ini. Ramai yang mempertikaikan “hukuman fizikal”, terutamanya merotan, bukan semata-mata kerana mahu memanjakan anak mereka, tetapi menganjurkan pendekatan pendidikan yang berbeza.

“Kita tidak boleh lagi mengasuh generasi akan datang sebagaimana ibu bapa mengasuh generasi kita,” demikianlah teorinya. Alasannya, generasi kanak-kanak sekarang membesar dalam suasana yang berbeza. Mereka didedahkan dengan persekitaran yang jauh berbeza berbanding zaman kita, misalnya mereka sudah mula berjinak-jinak dengan telefon pintar pada usia di mana kita bermain dengan tahi dalam lampin. Mereka lebih cepat matang berbanding waktu generasi kita, dan sudah tentu menuntut kita untuk memikirkan kaedah terbaik untuk membimbing mereka – dalam keadaan maruah mereka terjaga.

Berhubung dengan kerja rumah, terdapat teori pendidikan yang mencadangkan agar anak-anak dididik untuk “bergembira” ketika zaman kanak-kanak. Mentaliti takut kalah di garisan permulaan bukan sesuatu yang digalakkan. Kanak-kanak seharusnya dibina keyakinan dalam diri, ditanam semangat kekitaan, dan tidak terlalu cepat untuk dibebankan dengan angka matematik, istilah bahasa yang berbunga-bunga dan sebagainya. Belajar untuk “bermain” adalah sesuatu yang penting, dan tidak harus membawa konotasi negatif, kononnya “bermain” itu disamakan dengan leka, malas dan sebagainya.

Seandainya kita membebaskan diri dari kerangka perkauman, inilah teori pendidikan yang seharusnya diperincikan untuk membentuk jatidiri seseorang insan. Saban hari kita diasak dengan berita masalah samseng remaja, buli-membuli, pencabulan kehormatan, bunuh diri akibat tertekan dengan prestasi peperiksaan yang tidak memuaskan dan sebagainya – namun tidak pernah kita memikirkan puncanya dari sudut pendidikan, sebaliknya kita membebankan pendidikan dengan misi perpaduan.

Justeru itu, bahasa pengantar pengajaran menjadi pertikaian. Saya mengambil kira keperluan untuk membentuk “identiti bangsa” melalui pendidikan, tetapi juga berpandangan bahawa tumpuan yang berlebihan dalam hal ini mungkin tidak menyelesaikan masalah.

Dari perbincangan dalam forum tersebut, hampir semua bersetuju bahawa apa yang difikirkan ibu bapa tanpa mengira etnik adalah kualiti pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jadi, pilihan sekolah tidak semestinya didorong dengan sentimen perkauman, sebaliknya sejauh mana sekolah itu meyakinkan ibu bapa dengan menawarkan mutu pendidikan terbaik.

Untuk saya, pendidikan terbaik tidak memadai hanya dengan prestasi akademik, tetapi juga pembinaan jati diri. Apakah anak murid itu diajar untuk berempati, iaitu kemampuan untuk menyelami perasaan dan situasi orang lain, bersedia menghulurkan bantuan, berbelas kasihan melihat yang terpinggir, menghayati kerja dan niat murni orang lain – juga terangkum sebagai pendidikan berkualiti.

Dan jikalau nilai-nilai ini tersemai, kita akan menyaksikan wanita Cina berkongsi coklatnya dengan muslim yang terperangkap dalam feri ketika waktu berbuka puasa; kita akan terbaca bagaimana seorang pelanggan Cina yang menempah makan melalui Grab Food, memesan penghantar untuk menunggu sehingga hujan berhenti sebelum menghantar makanan tempahannya.

Kesemua ini terjadi bukan kerana wanita Cina atau pelanggan Cina itu fasih dalam bahasa Melayu. Bukan juga nilai bersatu-padu yang dipahat ke dalam otak seseorang individu. Mereka berkelakuan sedemikian kerana berempati dengan situasi orang lain, menghayati kerja baik mereka, dan sanggup berkongsi agar kita hidup makmur bersama.

Kesemua ini di luar kerangka perkauman. Sama ada sekolah kebangsaan, Cina mahupun Tamil, malah sekolah swasta dan antarabangsa, berdepan dengan cabaran untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan yang ditawarkan. Bertelingkah kerana kulit tidak menyelesaikan masalah isi. Moga-moga kita menemui jalan keluar untuk dunia yang lebih luas. (tamat)