Malaysia Dateline

Pertimbang calon SPM dari zon bukan merah ambil peperiksaan percubaan

Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan supaya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sekolah mukim bukan zon merah dapat menyelesaikan peperiksaan percubaan SPM yang tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pemuda AMANAH Gombak, Ahmad Usamah mencadangkan, pembukaan khas sekolah itu kelak membabitkan sekolah harian biasa sahaja dan dihadiri semua calon SPM untuk menduduki peperiksaan percubaan.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di sekolah-sekolah bagi memantau pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk semua pelajar dan guru.

“Memandangkan keputusan peperiksaan percubaan SPM akan dijadikan sebagai salah satu penilai untuk melanjutkan pelajaran buat semua bakal graduan, maka perlulah peperiksaan percubaan SPM ini diselesaikan dengan syarat SOP yang ketat harus dilaksanakan oleh petugas RELA bukan guru di sekolah.

“Penangguhan peperiksaan ini pastinya menjadi beban besar buat semua calon yang tertunggu-tunggu bila tarikhnya untuk mereka menyambung peperiksaan ini dan menyelesaikanya.

“Guru-guru juga perlu menunggu masa demi masa untuk menyelesaikan tugasan yang tertangguh,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, semua institusi yang berdaftar KPM di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan terus ditutup sehingga 9 November ini.

KPM melalui kenyataannya memaklumkan keputusan itu selaras pengumuman lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai hari ini oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, institusi terbabit termasuklah taman didikan kanak-kanak (Tadika), sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan Institusi Pendidikan Guru (IPG).