Malaysia Dateline

Pertimbang sarapan untuk semua pelajar ambil kira hasil kajian kritikal

Kerajaan disaran agar mempertimbangkan cadangan Khazanah Research Institute (KRI) berhubung program pemakanan seimbang melalui Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, menegaskan bahawa program bermanfaat tersebut perlu diperluas kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.

Menurut Exco Kerajaan Negeri Perak itu, penilaian semula perlu dibuat dengan penglibatan lebih banyak kementerian dan pihak berkepentingan khususnya di peringkat bawahan.

Hal ini kerana, jelasnya, hasil kajian KRI melahirkan beberapa kebimbangan terhadap program berkenaan yang dikatakan tidak akan mencapai objektif kerajaan yang sewajarnya.

“Statistik menunjukkan ramai dalam kalangan pelajar tidak mendapat nutirisi yang seimbang adalah dari isi rumah berpendapatan rendah, dengan sekitar 84.4 peratus yang mengamalkan makanan segera hampir setiap hari.

“Kajian terhadap tabiat pemakanan dalam kalangan pelajar pula mendapati kurang daripada 1/3 pelajar berumur 10 hingga 17 tahun mendapat nutrisi yang seimbang.

“Pemuda AMANAH berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan Kajian KRI agar masalah kekurangan nutrisi dalam kalangan pelajar yang tidak berkemampuan dapat diselesaikan.

“Malah, masalah obesiti dalam kalangan pelajar daripada isi rumah berpendapatan tinggi juga perlu diberi perhatian untuk diselesaikan,” dipetik dalam satu kenyataan.

Kajian KRI bertajuk “Understanding School Feeding in Malaysia” oleh Jarud Romadan Khalidi dan Tan Zhai Gen pada 7 Februari lalu mendedahkan bahawa program untuk murid miskin boleh menyebabkan murid tersebut dianggap sebagai stigma dan disindir kerana menerima bantuan tersebut.

Menurut mereka, dalam kes tersebut, penerima tidak akan mengambil makanan yang disediakan sekali gus menyebabkan objektif program tidak tercapai pada ketika belanja sudah pun dikeluarkan.

Berdasarkan hasil kajian juga, secara umum program makanan percuma di sekolah menyumbang kepada keperluan nutrisi seimbang dan meningkatkan kesihatan pelajar.

Malah, dengan perancangan dan implementasi yang baik, program pemakanan di sekolah mampu memberdaya sektor pertanian tempatan seterusnya meningkatkan pendapatan petanian.

Sehubungan itu, Hasnul yang juga ADUN Titi Serong itu berkata, kesungguhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membantu rakyat diharapkan dapat memperhebat kerjasama antara kementerian agar cadangan rancangan makanan untuk semua pelajar dapat direalisasikan.