Malaysia Dateline

Pertimbang untuk tangguh bazar Ramadan

Kerajaan negeri Johor hari ini disarankan untuk menangguhkan sementara operasi Bazar Ramadan yang akan berlangsung sempena bulan Ramadan yang jatuh pada minggu ketiga bulan April depan.

Perkara itu disuarakan oleh Pemikir Parti Amanah Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain yang menjelaskan hal itu bagi mengelakkan penyebaran virus Covid 19 yang semakin mengugat di negara ini.

Beliau menjelaskan bahawa Perintah Kawalan Pengerakan yang dijalankan oleh Kerajaan ini dijangka akan berlarutan dengan peningkatan pesakit dan membabitkan kematian seramai dua orang semalam.

“Kerajaan perlu pertimbangkan untuk menangguhkan bazar Ramadan kerana ia akan mengundang pelbagai masalah dan mudah untuk penyebaran virus Covid 19 ini.

“Kerajaan perlu kreatif dengan mengambil langkah yang drastik untuk menyelesaikan dilema ini, bukan hanya menanti dan melihat tanpa ada sebarang konklusi yang baik,” jelasnya ketika dihubungi.

Dalam pada itu beliau turut menyarankan agar pihak kerajaan mewujudkan BAZAR ONLINE NEGERI JOHOR untuk membantu peniaga berniaga di alam maya dan pembeli juga membeli di alam maya tanpa perlu bersesak sesak.

Tegasnya lagi, inisiatif membantu peniaga juga perlu dijalankan oleh kerajaan untuk mengekang wabak virus Covid 19 serta dalam masa yang sama membantu peniaga dengan pelbagai kaedah lain.

“Sistem ‘online delivery’ amat berkesan untuk diketengahkan dalam situasi ini sekaligus ia mengurangkan pengumpulan manusia dalam satu masa di satu-satu tempat.

“Selain itu, Kerajaan perlu menggerakkan bahagian ICT Negeri Johor dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Johor untuk menyediakan ‘online portal’ bagi mendaftarkan peniaga-peniaga yang akan menawarkan produk mereka secara atas talian.

“Kerajaan juga disarankan untuk membantu memasarkan Bazar Ramadan Online ini dengan pelbagai cara supaya mendapat sambutan dan galakan daripada semua pihak di negeri Johor.

Dengan kaedah ini ia akan dapat membantu peniaga dan rakyat meneruskan kehidupan mereka seperti biasa dalam masa yang sama dapat mengelakkan diri dari terdedah dengan virus Covid 19,” jelasnya lagi.