Malaysia Dateline

Pertimbangkan semula tawaran terbaru, kembalikan borang maklumbalas

Berikut merupakan teks penuh pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad hari ini berhubung hala tuju dan tawaran kerajaan kepada pemilik tanah Kampong Bharu:

Alhamdulillah, pagi 17 Oktober lepas, saya telah berkesempatan untuk berbincang bersama Anggota Perbadanan dan Anggota Majlis Penasihat dalam satu mesyuarat khas berkaitan Kampong Bharu. Agenda yang telah dibincangkan adalah merupakan hasil pertemuan saya bersama Y.A.B Perdana Menteri mengenai tawaran terkini Kerajaan terhadap para pemilik tanah Kampong Bharu.

Sepertimana tuan/puan sedia maklum, pada 21 September lepas, telah diadakan satu Sesi Town Hall YB Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Pemilik Tanah Kampong Bharu bertempat di Dewan Perdana Felda.

Sesi tersebut telah berjalan dengan lancar. Kami juga telah membuka ruang kepada para pemilik tanah untuk bertanyakan soalan/kemusykilan dalam kalangan pemilik dan alhamdulillah banyak yang telah dikongsi bersama pada sesi tersebut.

Melalui sesi tersebut juga, hasil dari soalan-soalan yang dikemukakan, saya mendapat gambaran bahawa isu utama yang menjadi kebimbangan para pemilik adalah berkaitan nilai harga yang telah ditawarkan pada ketika itu iaitu RM850 (Ringgit Malaysia: Lapan Ratus Lima Puluh Sahaja) satu kaki persegi.

Pada akhir sesi tempoh hari, saya telah menyatakan komitmen Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Y.A.B Perdana Menteri berkaitan isu Kampong Bharu ini.

Saya telah berkesempatan untuk berbincang perkara ini bersama Y.A.B Perdana Menteri dan telah melaporkan segala input dan kehendak yang diperolehi dari Sesi Town Hall tersebut.
Hasil perbincangan tersebut, sukacita ingin dimaklumkan bahawa Kerajaan menawarkan tanah di Kampong Bharu yang terlibat dalam pembangunan semula dibeli pada harga RM1,000.00 (Ringgit Malaysia: Satu Ribu) satu kaki persegi.

Dari harga RM1,000.00 satu kaki persegi tersebut, RM850.00 akan dibayar berdasarkan pilihan pulangan yang telah dipilih oleh para pemilik tanah, manakala baki RM150.00 pulangannya adalah dalam bentuk pegangan saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak. Perincian dari segi struktur pegangan saham akan diperhalusi oleh agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan dan akan dimuktamadkan sebelum perjanjian ditandatangani kelak.

Tambahan lagi, potongan harga sejumlah 15% akan diberikan kepada pemilik tanah yang memilih untuk membeli harta tanah dalam pembangunan yang akan dilaksanakan kelak. Sebagai contoh harga rumah Residensi Wilayah yang dibangunkan di Kampong Bharu ini akan dijual kepada pemilik tanah pada harga RM255,000.00 se unit sahaja dengan keluasan lantai 900 kaki persegi berbanding harga biasa iaitu RM300,000.00 se unit.

Sehubungan itu, Kerajaan turut ingin menyeru kepada kesemua pemilik tanah Kampong Bharu yang terlibat dalam rancangan pembangunan semula ini untuk mengemukakan borang maklumbalas mengenai persetujuan pembangunan semula Kampong Bharu.

Keperluan mengembalikan borang maklumbalas persetujuan ini adalah hanya untuk pemilik yang masih belum mengemukakan borang tersebut kepada Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) selepas sesi town hall September lepas.

Bagi pemilik yang telah mengemukakan borang sebelum ini, tetapi telah menyatakan tidak bersetuju dengan tawaran pada ketika itu, tuan/puan juga adalah dipohon untuk mempertimbangkan semula tawaran terbaru ini dan mengembalikan borang maklumbalas persetujuan kepada PKB.

Bagi para pemilik yang telah mengembalikan borang dan telah pun menyatakan persetujuan, tidak perlu untuk mengisi semula borang maklumbalas tersebut kerana Kerajaan akan mengambilkira persetujuan tuan/puan selaras dengan tawaran terbaru Kerajaan secara automatik.

Bagi pemilik yang telah memberikan persetujuan ini saya menyeru supaya bersama-sama membantu mengenalpasti dan jika boleh berusaha mendapatkan persetujuan dari semua pemilik bersama dalam lot masing-masing yang masih lagi tidak mengemukakan borang maklumbalas persetujuan kepada PKB atau yang tidak bersetuju dengan tawaran Kerajaan ini. Saya berharap pemilik-pemilik ini tidak mengambil sikap hanya berdiam diri dan beranggapan ahli keluarga lain akan menyelesaikannya secara bersendirian. Seperti yang saya maklumkan dalam Sesi Town Hall sebelum ini, perjanjian jual beli hanya boleh dilaksanakan setelah kesemua pemilik dalam satu lot mengemukakan persetujuan.

Borang maklumbalas tersebut boleh didapati di laman sesawang PKB atau tuan/puan boleh hadir sendiri ke Pejabat PKB di Rumah Rohas, Jalan Raja Abdullah, Kampong Bharu.

Tempoh untuk tuan/puan mengemukakan maklumbalas ini adalah tiga (3) minggu dari tarikh pengumuman ini dibuat. Tarikh terakhir untuk mengemukakan borang maklumbalas adalah pada 30 November 2019.

Bagi pemilik tanah yang inginkan mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, tuan/puan bolehlah berhubung terus dengan PKB pada bila-bila masa.

Sekian sahaja pengumuman yang ingin disampaikan, saya buka ruang untuk rakan-rakan media sekiranya terdapat sebarang persoalan berkaitan pengumuman pada hari ini.