Malaysia Dateline

Pertubuhan Bangkit beri Azmin 48 jam jawab laporan forensik video intim

 

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diberi masa 48 jam untuk menjawab laporan siasatan forensik berkaitan sebuah video intim yang telah tular di seluruh negara.

Pengerusi Suara Anak Muda 1 Malaysia, Datuk Armand Azha berkata, sekiranya Azmin bukan individu seperti dalam video tersebut, beliau diminta tampil membuat kenyataan terbuka menafikan perkara itu.

“Datuk Seri Azmin, berani kerana benar. Tetapi, kalau anda adalah individu tersebut, saya mewakili rakyat Malaysia meminta anda melepaskan jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi kerana masalah integriti tidak perlu ada dalam kalangan menteri-menteri kabinet Pakatan Harapan.

“Kalau benar anda tak salah, kenapa anda tidak keluarkan kenyatan tentang setiap laporan forensik yang telah diserahkan.

“Saya rasa dah dua minggu mereka serahkan laporan forensik kepada Pejabat Perdana Menteri, Bukit Aman dan juga pihak Istana. Kenapa tubuh badan (Azmin) tidak membela diri? Adakah tubuh badan tersebut tahu yang individu itu adalah tubuh badan tersebut?,” soalnya ketika ditemui pemberita di luar bangunan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, di Putrajaya hari ini.

Armand dan Presiden Pertubuhan Bangkit, Shahrin Azlan Datuk Selamat bersama Sekretariat Suara Rakyat hari ini hadir ke kementerian itu bagi menyerahkan senaskah laporan siasatan laporan forensik berhubung video intim itu.

Laporan forensik itu adalah kandungan perincian mengenai kajian yang telah dibuat secara menyeluruh oleh pakar kajian video ‘Verden forensics’ yang berpengkalan di London, United Kingdom.

Berdasarkan surat rasmi yang ditujukan kepada Azmin Ali hari ini, turut dimaklumkan bahawa dalam kandungan terperinci 55 muka surat itu, mengesahkan bahawa individu dalam video intim itu adalah melibatkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang Santubung, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Namun, Armand berkata kebebasan bersuara rakyat di negara ini telah dirogol ekoran pejabat Azmin Ali tidak berani menerima laporan forensik tersebut.

“Hari ini tujuan asal NGO Bangkit hadir ke sini adalah untuk menyerahkan laporan forensik terhadap tuan punya badan (Azmin). Tapi malangnya, sebuah kerajaan yang melaungkan kebebasan bersuara, membawa suara rakyat, telah ‘dirogol’.

“Kebebasan suara rakyat telah ‘dirogol’ apabila rakyat hadir memberi bukti jelas siapa individu dalam video-video yang telah tular, namun hari ini mereka tidak berani menerima laporan forensik itu.

“Jadi, kami tinggalkan kertas laporan itu dan meminta pihak berkuasa membantu kami menyerahkannya walaupun dalam hati, kami tahu laporan itu tidak akan sampai ke meja Azmin,” katanya lagi.