Pertubuhan Islam Malaysia kecam Arab Saudi, UAE tidak peduli penderitaan rakyat Yaman

Pertubuhan Islam Malaysia kecam Arab Saudi, UAE tidak peduli penderitaan rakyat Yaman

Dalam satu kenyataan bersama, pertubuhan Islam Malyasia melahirkan rasa terkejut dan kesal dengan tindakan Arab Saudi dan UAE yang mengambil sikap tidak peduli terhadap penularan akut penyakit kolera dan kelaparan berleluasa di Yaman.

Mereka berpandangan hal ini adalah akibat langsung dari kedua negara ini yang tidak memenuhi komitmen kemanusiaan yang pada dasarnya telah dibuat mereka pada awal 2019.

“Perkara ini juga disahkan sendiri oleh seorang pegawai tertinggi PBB, Mark Lowcock pada hari Khamis, 18 July 2019.

Dalam laporan beliau, Mark Lowcock memberitahu kepada Majlis Keselamatan PBB bahawa setakat Februari 2019 – sudah ada 40 negara yang memenuhi komitmen penyaluran dana kemanusiaan kepada Negara Yaman. Namun ini tidak termasuk negara Arab Saudi dan UAE yang masih tidak memenuhi ikrar penyaluran dana sebanyak $ 500 juta yang dijanjikan.

“Kami berpandangan tindakan ini adalah tidak berperikemanusiaan dan memalukan. Kekurangan dana telah menghalang penyampaian bantuan yang diperlukan segera untuk berjuta-juta mangsa perang di Yaman,” kata kenyataan itu.

Laporan Mark Lowcock turut memperincikan perkara-perkara lain akibat daripada tindakan Arab Saudi dan UAE ini seperti berikut:

1. Gangguan terhadap kemudahan perubatan yang digunakan untuk merawat sembilan juta rakyat Yaman. Proses vaksinasi untuk 13 juta orang, termasuk 200,000 anak muda terbantut dan tidak dapat diteruskan;

2. Sebanyak 30 pusat pengedaran makanan di daerah paling terjejas di Yaman telah menamatkan operasi mereka;

3. Terdapat 60 pusat pengedaran makanan akan ditamatkan operasi mereka dalam beberapa minggu yang akan datang. Ini akan mempertaruhkan nyawa sekitar 7,000 kanak-kanak yang sedang menderita akibat kekurangan gizi.

4. Loji perawatan air Sanaa yang didirikan oleh PBB untuk pertanian akan ditutup kelak. Ini bermakna empat juta orang kelak akan memakan sayur-sayuran yang tercemar dengan air kumbahan. Ini secara langsung akan meningkatkan penyakit kolera di Sanaa.

5. Yaman akan tergelincir semula kepada situasi yang diklasifikasikan oleh ramai ahli pakar sebelum ini sebagai “endemik kolera yang paling buruk di dunia.”

6. Sebanyak 500,000 kes kolera baru telah dilaporkan setakat tahun ini. Ini adalah peningkatan ketara daripada 380,000 kes yang dilaporkan sepanjang tahun 2018. Kami berpandangan ini adalah petunjuk bahawasanya penularan virus kolera telah kembali merebak. Wabak kolera di Yaman telah membunuh lebih daripada 300 orang.

Pertubuhan Islam ini menggesa Negara Arab Saudi dan UAE untuk memenuhi ikrar mereka dengan menyalurkan bantuan kemanusiaan yang diperlukan dengan kadar segera. Kami juga memanggil dan menggesa OIC untuk mengambil inisiatif untuk menggerakkan usaha politik di dalam menghentikan perang selain membangun semula Negara Yemen.

“Dalam perkara yang sama, kami melahirkan rasa kesal dengan keadaan di mana kebanyakan anggota OIC yang pada umumnya terdiri dari negara-negara kaya –hanya mampu sekadar menjadi penonton terhadap bencana kemanusiaan yang menimpa 24 juta penduduk negeri Yaman.

“Kami mengulangi pendirian bahawasanya sekiranya Arab Saudi tidak menghentikan pencerobohan dan provokasi ketenteraan di Yaman, bantuan antarabangsa tidak akan dapat disalurkan dengan segera dan menyeluruh,” katanya.

Kenyataan tersebut dibuat bersama oleh Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, Pengerusi MANAR, Datuk Seri Ahmad Awang, Pengerusi SHURA, Datuk Wira Abdul Ghani Samsudin, Pengerusi SEJAGAT, Syed Syekh Al Atas, Pengarah IReach, Johan Arif Ismail dan Pengarah Global Infaq, Rozaidi Taib.