Malaysia Dateline

Pertubuhan OKU Sarawak kecewa VIP potong laluan dapatkan vaksin

Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Sarawak melahirkan rasa kecewa berikutan kes keluarga Very Important Person (VIP) yang berpengaruh di negeri itu memotong laluan ketika mendapat vaksin di pusat vaksinasi di Stadium Tertutup Negeri Sarawak baru-baru ini.

Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Sarawak, Isak Ngau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak seharusnya mengambil langkah yang lebih tegas dan tidak bersikap ‘double standard’ dalam menangani kes berkenaan berulang kembali.

“Memohon maaf adalah tidak memadai dan tindakan tegas dan kompaun patut dikenakan kepada individu berkenaan bagi memberikan pengajaran dan contoh kepada orang ramai supaya tidak memperlekehkan golongan OKU.

“Malah, kita mohon juga agar JPBN Sarawak mengambil langkah yang lebih tegas dan bersikap tidak ‘double standard’ supaya kes tersebut tidak berulang lagi,” tegasnya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Kenyataan bersama ini turut disokong oleh Rapelson Richard Hamit, Presiden Persatuan Anak Istimewa Sarawak (PERAIS) dan Antonie Zawie Demit, Persatuan Insan Istimewa Daro/Matu (IDAM).

Isak Ngau menjelaskan, pihaknya turut menggesa agar Kerajaan Negeri Sarawak mempercepatkan pemberian vaksin untuk golongan OKU di negeri ini termasuk keluarga yang sebilik atau serumah dengan OKU terbabit.

Sementara itu, beliau berkata, OKU Sarawak yang terbabit di bawah Program Elit/Pelapis yang bakal menghadapi Kejohanan di Johor tahun depan juga haruslah disegerakan pemberian suntikan vaksin seperti yang telah diterima oleh atlet Kebangsaan, iaitu atlet Majlis Sukan Negara (MSN).

“Begitu juga dengan jurulatih, pengerak, pengiring dan juga pegawai yang terlibat dalam kejohanan di Johor nanti juga harus diberikan suntikan vaksin secepat mungkin,” tambahnya.

Ujarnya lagi, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mempunyai data-data OKU di Sarawak dan ini akan memudahkan mereka menghubungi individu berkenaan bagi proses vaksinasi.