Malaysia Dateline

Pertubuhan politik di Afghanistan diseru segera wujudkan negara baru lebih aman

Kesemua pertubuhan dan kumpulan politik di Afghanistan perlu segera berbincang untuk mewujudkan Afghanistan baru yang lebih aman ekoran situasi genting yang berlaku di negara itu, kata bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Mohamad yang juga Presiden AMANAH berkata, saranan yang dikemukakan itu ditujukan kepada semua pertubuhan-pertubuhan Afghanistan agar tumpuan dapat diberikan kepada pembangunan negara yang musnah disebabkan perang sejak puluhan tahun.

Beliau juga menyatakan bahawa negara-negara jiran seperti Pakistan dan Iran perlu melayan sebaik-baiknya pelarian Afghanistan yang memasuki negara mereka.

“Begitu juga pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu khususnya agensinya seperti UNHCR, perlu memainkan peranan dalam menguruskan limpahan pelarian ini agar keperluan dan kebajikan mereka terpelihara.

“Negara-negara jiran juga khususnya Pakistan dan IranĀ  perlu memainkan peranan membantu dalam proses keamanan Afghanistan,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Mohamad berkata, ini perlu dilakukan agar Afghanistan kembali pulih setelah beberapa dekad berada dalam peperangan dan tidak ada lagi negara luar menjadikan Afghanistan sebagai medan peperangan proksi mereka.

“Semoga segala usaha yang dilakukan akan memberi harapan baru kepada rakyat Afghanistan,” katanya lagi.

Taliban kini menguasai seluruh Afghanistan selepas Presiden negara itu, Ashraf Ghani dilapor lari ke UAE.

Tentera Amerika Syarikat (AS) juga sebelum ini telah dipanggil pulang dari negara itu secara berperingkat, memudahkan kekuasaan Taliban ke atas Afghanistan