Malaysia Dateline

Pertuduhan berat terhadap Azam Baki: Mengapa PM tidak ambil tindakan?

Abu Zahar telah tersilap orang – isunya bukan Gomez, tetapi Azam

Pengerusi Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Abu Zahar Ujang, telah tersilap orang – isunya bukanlah mengenai ahli akademik Edmund Terence Gomez, sebaliknya isunya adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Peletakan jawatan secara mengejut oleh Gomez hanya menonjolkan lagi isu mengenai Azam Baki ini.

Untuk selama lebih daripada dua bulan, pertuduhan yang berat telah dibuat terhadap Azam Baki, pertuduhan-pertuduhan ini memberikan kesan kepada peranan dan tugas beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, malah, membawa kegusaran kepada usaha anti-rasuah SPRM sendiri.

Persoalan semakin bertambah.

Pertama, mengapa Azam Baki tidak menjawab pertuduhan-pertuduhan ini?

Kedua, apakah yang telah dibuat oleh pelbagai jawatankuasa pemantauan SPRM mengenai pertuduhan ini. Mengapa mereka semua belum bermesyuarat untuk membincangkan perkara ini?

Ketiga, mengapakah Perdana Menteri, Ismail Sabri, yang bertanggungjawab secara langsung mengenai SPRM, tidak mengambil apa-apa tindakan?

Keempat, apakah yang akan dilakukan oleh Parlimen mengenai pertuduhan-pertuduhan ini?

Kelima, sekiranya Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM boleh tersilap mengenai pertuduhan terhadap Azam ini, apakah gunanya wujud pelbagai jawatankuasa pemantauan SPRM ini?

Keenam, adakah wujud pihak yang tidak dapat dilihat yang sedang bekerja untuk “menutup” isu ini, dan adakah “pihak halimunan” ini sudah sampai ke Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri?

Penting untuk kerajaan dan masyarakat secara amnya untuk memupuk nilai-nilai yang tepat mengenai integriti dan isu rasuah dalam semua bentuk, memandangkan SPRM buat masa ini bukanlah pengaruh yang terbaik mengenai perkara ini.