Malaysia Dateline

Pertuduhan rasuah ke atas Azhar: AMANAH serah kepada mahkamah

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk mengadili kes pertuduhan rasuah terhadap bekas Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Setiausaha Agung AMANAH Dr Mohd Hatta Ramli berkata, parti tersebut menzahirkan kepercayaan bahawa kes Mohd Azhar Che Mat Dali akan dibicarakan dengan adil.

“AMANAH mengambil maklum berita dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengenai lima pertuduhan rasuah ke atas Mohd Azhar, bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Pertahanan.

“AMANAH menyerahkan hal ini kepada kebijaksanaan mahkamah dan percaya saudara Mohd Azhar bin Che Mat Dali akan mendapat perbicaraan yang adil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mohd Azhar mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan rasuah berjumlah RM6.3 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Dia didakwa meminta dan menerima suapan membabitkan projek secara rundingan terus di Kementerian Pertahanan bernilai lebih RM56 juta.

Mahkamah membenarkan Azhar diikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin, selain perlu melaporkan diri bermula November ini di pejabat SPRM pada setiap bulan serta pasport diserahkan sehingga kes selesai.