Malaysia Dateline

Pertuduhan rasuah ke atas Azhar: KANUN seru hentikan spekulasi

Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH berharap semua pihak dapat menghormati prinsip undang-undang terhadap kes berkaitan bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Pengerusi KANUN, Dr. Zulqarnain Lukman mengingatkan bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya dan seseorang tertuduh juga perlu mendapat perbicaraan yang adil dan saksama di mahkamah.

Menurutnya, peluang yang sama juga perlu diberi kepada Mohd Azhar Che Mat Dali, 49, untuk menjalani proses perbicaraan itu dengan saksama.

“KANUN percaya bahawa sistem keadilan di Malaysia masih lagi berpegang dengan prinsip-prinsip ini. Peguam KANUN juga telah hadir untuk mewakili saudara Azhar semasa proses pendakwaan dan proses jaminan mahkamah,” katanya.

Sehubungan itu, jelasnya, tidak wajar untuk orang ramai membuat perbicaraan ke atas Azhar di media sosial atau membuat spekulasi seolah-olah beliau bersalah sehinggalah semua bukti telah dibentangkan di hadapan hakim dan hakim telah membuat sabitan bersalah ke atasnya.

Terdahulu, Azhar didakwa di Mahkamah Sesyen di hari ini, atas lima tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM6.3 juta.

Dia mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Dalam masa sama, KANUN juga mengecam tindakan sesetengah pihak yang cuba mengaitkan pertuduhan tersebut dengan prinsip-prinsip yang dipegang oleh AMANAH.

“Tindakan sebegitu adalah tidak lain dan tidak bukan hanya ingin mencalar nama baik AMANAH serta ingin mengalihkan perhatian terhadap tindakan mengambil semula mandat rakyat oleh Pakatan Harapan yang diusahakan melalui Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“KANUN percaya masyarakat umum sudah mengetahui bahawa kerajaan Perikatan Nasional sekarang akan karam pada bila-bila masa,” tegasnya lagi dalam satu kenyataan hari ini.