Malaysia Dateline

Pertukaran kerajaan di negeri lain tanpa pilihan raya kecil, mengapa tidak di Melaka?

Bolehkah Ketua Menteri yang telah hilang majoriti menasihatkan gabenor untuk membubarkan DUN? Ini isu Perlembagaan yang perlu diteliti.

Kes Melaka ini tidak boleh disamakan dengan tindakan gabenor Sabah membubarkan DUN selepas menerima nasihat dari Ketua Menteri kerana pada ketika nasihat diberi, KM masih memiliki majoriti yang sah.

Ramai juga yang tidak bersetuju dengan pembubaran ini kerana kita masih melawan Covid-19. Sepatutnya yang berlaku ialah parti atau gabungan yang mempunyai majoriti diberi peluang untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Di Perak, DUN tidak dibubarkan apabila Menteri Besar Pakatan Harapan (PH) menasihatkan Sultan untuk membubarkannya.

Jadi, apa perlunya diadakan PRN dalam keadaan sekarang tanpa memberikan peluang kepada majoriti PH-Plus membentuk kerajaan?

Lagipun, tempoh pilihan raya hanya tinggal 1 tahun 7 bulan sahaja lagi. Tidak bolehkah kita tunggu tarikh itu?
Apa yang menarik untuk dilihat dalam PRN Melaka?

i. PRN ini adalah ujian bagi semua parti untuk menguji sokongan masing-masing.

ii. Menarik untuk tahu bagaimana menteri dan parti dalam gabungan kerajaan Keluarga Malaysia berkempen.

iii. Bagaimanakah parti-parti dalam gabungan kerajaan pusat sekarang akan bertanding? Apakah kerusi dibahagikan sesama mereka antara Umno, Bersatu dan Pas atau bertanding sesama sendiri?

iv. Bagaimana kepemimpinan PH di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim? Apakah akan bertanding atas tiket parti masing-masing atau lambang PH atau juga bertanding sesama sendiri?

Pesanan kepada rakyat, inilah masanya untuk kita memilih wakil yang ada kredibiliti dan yang memikirkan kebajikan rakyat.

Pilihlah calon sesuai yang dapat memberikan manfaat kepada kita – rakyat, bukannya kepada mereka – wakil rakyat.

Kuasa di tangan kita sekarang. Tunjukkan kuasa rakyat. Ajar pemimpin dan ADUN, apakah betul tindakan mereka selama ini atau sebaliknya.

Memakan kos

Saya tidak bersetuju dengan pembubaran DUN kerana ia memberikan risiko dan ancaman kepada rakyat, namun melihat kepada keangkuhan pemimpin sekarang, biarlah rakyat kembali memilih wakil mereka yang betul.

Saya tidak suka tindakan yang ‘double standard’. Jika di beberapa negeri sebelum ini berlaku pertukaran kerajaan tanpa perlunya pilihan raya kecil, mengapa perlu di Melaka dalam keadaan kita baharu hendak lega dari ancaman Covid-19 ini?

Pilihan raya memakan kos. Saya fikir jika dapat dielakkan, alangkah bagusnya wang itu digunakan untuk menjaga kebajikan rakyat.

Namun, pembubaran telah pun berlaku. Terima sahajalah dengan hati terbuka dengan niat untuk kita memilih kerajaan terbaik dan meraikan demokrasi.

Harapnya Covid-19 tidak merebak lagi. Jika meningkat lagi akibat PRN ini, janganlah lagi ada PKP Diperketatkan dan seumpama dengannya. Rakyat sudah bosan.