Malaysia Dateline

Pertukaran tanah tentera: Penswastaan atau perompakan, soal Patriot

Kementerian Pertahanaan Malaysia didakwa sengaja untuk mengelak pelbagai persoalan yang diajukan kepada kementerian itu mengenai dakwaa penswastaan tanah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Brid Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, jawapan yang diberikan oleh Unit Komunikasi Strategik Mindef sengaja mengalihkan perhatian kepada prosedur pentadbiran, dan bukan memberi jawapan secara langsung.

“Jawapan yang diberikan tidak mengatakan tanah Kementah/ Angkatan Tentera tidak diswastakan.

“Ia tidak mengatakan tanah itu tidak diswastakan kepada sebuah syarikat atau syarikat-syarikat lain. Ia hanya menyatakan syarikat yang dimiliki oleh tiga individu kini memiliki tanah berkenaan adalah tidak benar.

“Dengan menyatakan bahawa Kementah telah melaksanakan projek-projek pembangunan melalui pelbagai kaedah, termasuk penswastaan pertukaran tanah, kecuali jika dinyatakan dengan jelas sebaliknya, Kementah secara tidak sengaja mengakui bahawa tanah tersebut telah diswastakan.

“Sama ada kesemua 40,000 hektar lebih tanah tentera atau sebahagian daripadanya telah diswastakan adalah tidak jelas. Sama ada ia telah diswastakan kepada syarikat milik 3 individu (seperti yang didakwa oleh Rafidah Aziz), atau kepada syarikat-syarikat lain, juga tidak begitu relevan.

“Titik perbalahan adalah sama ada tanah Kementah / Angkatan Tentera secara keseluruhan atau sebahagian daripadanya, telah diswastakan kepada sebuah syarikat / syarikat-syarikat atau orang-orang tertentu.

“Setelah diswastakan dan pemilikan tanah berpindah, siapa dan apa-kah yang dapat menghalang mereka daripada menubuhkan syarikat pelbagai peringkat ‘multi-tiers’ untuk pemilikan tanah bagi mengelak pemilik tanah sebenar di kesan dengan mudah.

“Banyak yang telah diperkatakan mengenai Pangkalan Tentera Udara Sg Besi milik 1MDB, Pangkalan Tentera Udara Butterworth berkeluasan 400 hektar yang sepatutnya diambil alih oleh TSR Capital, Kem Majidee di Johor yang telah dijual kepada Syarikat Setia Pantai Sdn Bhd.

“Baru-baru ini Kem Gua Permai Rejimen Askar Melayu Diraja di Ipoh yang dikenalpasti untuk pertukaran tanah dengan projek hospital veteran yang ada hubung kait dengan BP Healthcare; batalion ini akan dipindahkan ke Hutan Melintang.

“Apa yang dikatakan projek pembangunan ini dan segala urusan diselubungi kerahsiaan. Ini sama sekali tidak boleh diterima. Di manakah suara ahli-ahli Majlis Angkatan Tentera? Di manakah suara para jeneral dan pegawai-pegawai tinggi?

“Dengan publisiti meluas baru-baru ini berhubung Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Patriot ingin menambah satu soalan tambahan kepada tiga soalan kami yang masih belum terjawab. Berapa banyakkah tanah tentera akan terlibat dengan pembinaan ECRL dan HSR, dan siapa / syarikat atau syarikat-syarikat manakah yang akan mendapat faedah? Patriot mempunyai kewajipan untuk mencari kebenaran.

“Dengan begitu banyak ketidakpastian dan soalan-soalan yang tidak terjawab, ia mengundang seseorang untuk tertanya-tanya sama ada skim pertukaran tanah dan penswastaan Kementah / Angkatan Tentera adalah benar-benar penswastaan atau perompakan.

“Patriot menuntut jawapan yang spesifik kepada soalan-soalan  tersebut dengan segera,” ujar kenyataan itu.

Pada 11 April lalu, oleh Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan antara lain, menjawab tuduhan Rafidah Aziz dengan menafikannya.

Pada 9 April Patriot telah menuntut jawapan dari Perdana Menteri ekoran itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein, mengatakan dakwaan Rafidah dan soalan yang diajukan Patriot tidak dijawab.

“Sebaliknya, Rafidah Aziz telah bersumpah dengan ayat suci Al-Qur’an bahawa setiap keping tanah Kementah/Angkatan Tentera telah diswastakan kepada tiga individu,” ujar Mohamed Arshad.