Malaysia Dateline

Pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia perlahan kepada 4.7 peratus pada 2019 – Moody’s

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia dijangka perlahan kepada 4.7 peratus pada tahun ini dan 4.5 peratus pada 2020 selepas purata sekitar 5.0 peratus dari 2015-18, menurut Moody’s Investor Services.

Moody’s berkata cabaran luaran daripada fahaman perlindungan perdagangan akan mempengaruhi aktiviti perdagangan, manakala kajian semula projek-projek infrastruktur dan perbelanjaan awam yang perlahan akan membuktikan kesukaran terhadap pertumbuhan.

“Pengembangan ekonomi akan terus kukuh daripada purata median bagi negara diberi penarafan A, walaupun mengambil kira pertumbuhan yang sederhana.

“Profil kredit Malaysia (A3 stabil) mencerminkan ekonomi negara yang besar dan pelbagai dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang baik dan hutang kerajaan yang agak tinggi yang sebahagiannya diimbangi oleh struktur hutang yang menggalakkan dan simpanan domestik yang besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Moody’s berkata kesimpulannya terkandung dalam analisis kredit yang dikeluarkan baru-baru ini bertajuk “Kerajaan Malaysia — A3 stabil: Analisis Kredit Tahunan”.

Agensi penarafan antarabangsa itu berkata pilihan dasar fiskal kerajaan Malaysia baru-baru ini, terutamanya pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan, akan mengurangkan asas pendapatannya dan fleksibiliti fiskal.

Selain itu, katanya beban hutang Malaysia, yang lebih tinggi daripada median diberi penarafan A, akan kekal sebagai kekangan kredit.

“Bagaimanapun, pasaran modal domestik yang kukuh dan simpanan yang tinggi menyediakan kumpulan dana yang stabil untuk hutang kerajaan dan sebahagiannya mengimbangi kelemahan fiskal ini, ” menurut Moody’s.

— BERNAMA