Malaysia Dateline

Bank Negara saved the day

Pertumbuhan pembiayaan bersih terus meningkat bagi menyokong aktiviti ekonomi

Pertumbuhan pembiayaan bersih Malaysia, tidak termasuk institusi kewangan pembangunan (DFI) dan bon korporat yang kukuh, terus menyokong aktiviti ekonomi, meningkat kepada 7.1 peratus pada Oktober daripada tujuh peratus pada September, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam laporan “Sorotan Bulanan – Oktober 2018” yang dikeluarkan hari ini, bank pusat itu berkata, pertumbuhan yang bertambah baik itu disebabkan pertumbuhan pinjaman sistem perbankan terkumpul yang lebih tinggi kepada enam peratus berbanding 5.7 peratus pada September.

“Pinjaman perniagaan terus kukuh, dengan pertumbuhan yang lebih tinggi sebanyak 5.6 peratus pada Oktober berbanding 4.5 peratus pada September berikutan pertumbuhan pinjaman kepada bukan PKS sebanyak 10.5 peratus berbanding tujuh peratus pada September,” katanya.

BNM juga berkata, terbitan bon korporat terkumpul bersih terus kukuh pada 10.2 peratus pada Oktober berbanding 10.8 peratus pada September manakala pinjaman isi rumah mampan pada 5.9 peratus berbanding  enam peratus sebelumnya.

Menurut BNM, pasaran kewangan domestik mencatat aliran keluar portfolio bukan pemastautin pada Oktober disebabkan terutama perkembangan luaran.

“Ringgit menyusut sebanyak satu peratus di tengah-tengah nilai dolar Amerika Syarikat yang terus kukuh dan aliran keluar portfolio bukan pemastautin ,” katanya.

Ia berkata, sentimen positif terhadap dolar AS didorong penyiaran data ekonomi AS yang menggalakkan dan petunjuk oleh Rizab Persekutuan AS mengenai cadangan menaikkan kadar faedah selanjutnya.

BNM berkata, FTSE Bursa Malaysia KLCI juga merosot 4.7 peratus dengan sentimen yang terjejas oleh jualan mendadak ekuiti AS berikutan pengambilan untung menjelang pengumuman perolehan AS.

Selain itu kebimbangan mengenai keadaan pembiayaan yang lebih ketat dalam sektor korporat seperti yang dicerminkan oleh kadar hasil perbendaharaan AS yang lebih tinggi turut memberi kesan kepada sentimen.

Bagaimanapun, ia berkata, hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia lima tahun kekal stabil dan meningkat 4.1 mata asas pada bulan tersebut.

Menurutnya, bank-bank di Malaysia mempunyai mudah tunai yang mencukupi untuk menyokong aktiviti pengantaraan serta memenuhi keperluan mendesak.

Nisbah perlindungan kecairan (LCR) sistem perbankan adalah pada 147 peratus apabila semua bank mencatat paras LCR melebihi 100 peratus walaupun pelaksanaan sepenuhnya akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2019.

“Profil pembiayaan bank adalah stabil. Nisbah pinjaman kepada dana dan nisbah pinjaman kepada dana dan ekuiti masing-masing pada 83.3 peratus dan 72.7 peratus,” katanya.

— BERNAMA