Pertumbuhan PKS keutamaan kerajaan, kata KM Sabah

Pertumbuhan PKS keutamaan kerajaan, kata KM Sabah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan meletakkan keutamaan tinggi bagi pertumbuhan dan pembangunan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memandangkan peranannya dalam pengembangan ekonomi, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata sejumlah 153 program dengan peruntukan RM7.36 bilion dijangka dilaksanakan oleh 16 kementerian dan 60 agensi tahun ini yang akan memberi manfaat kepada 500,000 perniagaan dan syarikat PKS di seluruh negara.

“Tahun lepas, 10 agensi kerajaan melaksanakan program pembangunan melibatkan RM5.58 juta untuk membantu PKS di Sabah; program-program ini akan diteruskan ke tahun ini,” katanya dalam ucapan semasa melancarkan Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana 2016 peringkat negeri di Sabah Trade Centre pada Jumaat.

Ucapan Musa dibacakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Bolkiah Ismail.

Ketua Menteri menggesa usahawan PKS untuk menggunakan sepenuhnya program bantuan kerajaan dan kemudahan serta pembangunan ICT dan pasaran yang sedang pesat berkembang untuk membangunkan lagi perniagaan mereka.

“Usahawan PKS perlu proaktif dan agresif dalam usaha mereka menambah baik dan mengembangkan perniagaan mereka. Dengan semua kelebihan yang ada hari ini, saya yakin sektor PKS di Sabah akan maju ke tahap yang lebih tinggi.

“Sektor PKS juga seharusnya lebih kompetitif dan berdaya tahan dalam membantu Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya.

Pada majlis itu, Bolkiah menyampaikan insentif kerajaan termasuk surat tawaran bagi Program Transformasi Usahawan Sabah (TRUS-MID) 2016, dana-dana bagi program Satu Daerah Satu Industri dan anugerah model usahawan muda.

Sejumlah 150 pempamer mengambil bahagian dalam acara itu.

CATEGORIES