Pertumbuhan segmen runcit gambaran keyakinan pelabur pada Malaysia – Lim

Pertumbuhan segmen runcit gambaran keyakinan pelabur pada Malaysia – Lim

Pertumbuhan segmen runcit dalam ekonomi negara adalah gambaran keyakinan masyarakat peniaga terhadap potensinya, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata pertumbuhan sihat bagi pelaburan langsung asing (FDI) menunjukkan keyakinan berterusan pelabur terhadap Malaysia.

Prospek positif juga mendorong pertumbuhan segmen runcit dan perbelanjaan isi rumah yang lebih kukuh.

“Sebahagian faktor yang menyumbang kepada perbelanjaan isi rumah yang lebih kukuh ialah kejayaan kerajaan mengawal inflasi dan menyederhanakan peningkatan kos sara hidup,” katanya pada pembukaan rasmi gedung keempat IKEA di Malaysia, di Batu Kawan, kira-kira 40 kilometer dari sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

“Ambil IKEA sebagai contoh. Peruncit perkakasan rumah Sweden itu yang terus berkembang di negara ini adalah bukti Malaysia kekal sebagai salah satu destinasi pelaburan pilihan dunia,” tambah Lim.

Sementara itu, Chow dalam ucapannya berkata pembukaan IKEA di Batu Kawan akan menjadi pemangkin utama di Pulau Pinang dalam aspirasi membangunkannya menjadi bandar moden dan pintar.

“Ia tidak hanya akan menarik berjuta pembeli tetapi juga akan membawa beratus pekerjaan baharu, mewujudkan kitaran perniagaan kepada pembekal, menarik pelancong dan pelabur baharu,” katanya.

Beliau berkata usaha untuk membangunkan Batu Kawan bermula pada tahun 2013 apabila gergasi automotif, Honda buat pertama kali membuka operasi mereka di sana.

“Taman Perindustrian Batu Kawan telah berkembang pesat dengan penyertaan jenama seperti

Boston Scientific, HP, Broadcom, Western Digital, Micron, dan syarikat teknologi tempatan seperti ViTrox, Inari, Qdos, UWC, Pentmaster dan banyak lagi,” katanya.

— BERNAMA