Perubahan hanya melalui parti pemerintah, kata Mahfuz

Perubahan hanya melalui parti pemerintah, kata Mahfuz

Apa sahaja bentuk perubahan yang boleh dilaksanakan selepas pilihan raya sudah tentu boleh dicapai oleh calon daripada parti yang memerintah, kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar.

“Saya percaya semua orang mengakui memang banyak benda masih belum dilaksanakan kerajaan hari ini tetapi usaha sedang dilakukan termasuk di Selangor dan Dun Semenyih.

“Kalau nak melihat perubahan lebih baik daripada hari ini, calon yang mesti dimenangkan adalah parti yang sedang berkuasa apa lagi di peringkat nasional dan negeri,” katanya dalam ceramah sempena kempen PRK Dun Semenyih, di Bukit Mahkota, 25 Februari lalu.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, peranan semak dan imbang (check and balance) juga dalam konteks politik dunia hari ini sebenarnya turut berlaku sesama anggota dalam parti pemerintah.

“Ada orang kata pembangkang berperanan untuk check and balance. Sekarang tidak lagi. Dalam parti pemerintah pun boleh berlaku (semak dan imbang) walaupun berada dalam kerajaan.

“Ini jugalah dilakukan kerajaan Pakatan Harapan. Jadi, tiada masalah untuk mencari wakil rakyat yang menjadi semak dan imbang kepada parti pemerintah.

“Tiada masalah untuk pengundi Semenyih memberikan undi kepada calon Pakatan Harapan (PH),” ujar Timbalan Menteri Sumber Manusia berkenaan.

Perubahan

Mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya tiada perubahan dilakukan kerajaan PH, Mahfuz berkata, hal berkaitan perubahan yang sudah dicapai sepatutnya dibincangkan.

“Apa yang dibuat, orang tidak bincang. Orang bincang benda yang tiada. Kita kadang-kadang bincang hal yang tiada.

“Bincanglah hal ini. Anda ambil peluang atau tidak daripada apa yang sedang dilakukan kerajaan. Kita mesti bermula daripada apa yang ada di hadapan kita.

“Jangan berfikir apa yang tiada. Kita berusaha untuk dapatkan apa yang belum kita dapat. Kita harus memikirkan bagaimana peluang yang terbaik untuk direbut oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata, antara insentif kerajaan PH dalam meringankan kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah seperti Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) dan Skim Perlindungan Nasional B40 (Skim mySalam).

“Ini termasuklah pelbagai bantuan di kawaan luas bandar khususnya sektor pertanian. Rakyat perlu fikir ini adalah peluang terbaik yang disediakan kerajaan pada hari ini,” tambah Mahfuz lagi.