Perubahan kerajaan di Putrajaya bukan Shah Alam, bidas Ezam

Perubahan kerajaan di Putrajaya bukan Shah Alam, bidas Ezam

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak didakwa mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab apabila menyebut hari ini kerajaan negeri Selangor tidak stabil, kata Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor.

Beliau berkata, kenyataan presiden Umno itu juga tidak akan memberi kesan yang besar kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

“Najib bukan seperti Tun Mahathir semasa menjadi PM dahulu yang dihormati kawan dan lawan dan setiap kenyataannya memberi kesan dan impak besar.

“Azmin bukan seorang MB yang sempurna tetapi jauh lebih baik daripada pemimpin Umno yang mengadaikan semua prinsip moral membiarkan seorang ketua seperti Najib terus memimpin mereka.

“Malah pada hemat saya ciri terpenting bagi kami sebagai pejuang anti rasuah ialah keberanian dan kelantangan Azmin walaupun dalam posisi sebagai seorang MB menyerang dan menggugat secara terbuka Najib dan kepimpinannya,” ujarnya dalam kenyataan lewat petang ini.

Najib hari ini dalam blognya berkata, sejak tahun 1986, pembangkang sudah membentuk 9 pakatan seperti Barisan Alternatif yang ditubuhkan pada tahun 1998 tetapi dibubarkan pada tahun 2008.

“Kemudiannya Pakatan Rakyat yang hidup sejak 2008 hingga 2015. Pakatan-pakatan ini terpaksa dibubarkan selepas beberapa tahun.

“Yang lucunya, pembangkang kini didatangi parti kecil baru yang ingin menukar nama Pakatan Harapan. Pakatan apa pula yang akan timbul nanti?,” soal Najib.

Kata Najib lagi, kepimpinan yang tidak sehaluan akan mendorong Kabinet bertukar dengan kerap. Kesannya, kelangsungan perkhidmatan asas yang disediakan kerajaan akan terhenti atau tergugat.

Manakala di Selangor pada masa ini, ujarnya lagi, keadaan politik sebenarnya tidak stabil sekiranya Pas atau DAP menarik diri daripada kerajaan, kedudukan Menteri Besar dan kerajaan negeri sudah tentunya akan terjejas.

Justeru Ezam yang juga Presiden Parti Generasi Baru itu berkata, demi selamatkan negara dari bahana rasuah dan keperitan rakyat, perubahan kerajaan adalah di Putrajaya, bukan di Shah Alam.

“Kenyataan PM Najib terhadap kerajaan Selangor yang didakwanya tidak stabil adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak akan memberi kesan besar kepada pentadbiran MB Azmin di Selangor.

“Najib adalah seorang PM lemah, tidak ada integriti kerana lari dari tanggungjawab bukan sahaja menghalang dirinya disiasat secara telus dalam kes kleptokrasi terbesar malah lebih parah apabila beliau juga melindungi orang-orang seperti Jho Low daripada disiasat.

“Justeru kami ingin menyatakan secara jelas dan terbuka siap membantu mempertahankan kerajaan PH di Selangor dibawah kepimpinan Datuk Seri Azmin.

“Kami juga menyeru seluruh elemen reformasi didalam dan diluar parti untuk mempertahankan kerajaan pimpinan Azmin ini dari diserang oleh PM Najib dan kelompoknya.

“Kita jangan hilang fokus dan keutamaan.Musuh no1 negara ini hari ini adalah Najib kerana bahana kleptokrasi yang dilakukankan olehnya sebagai seorang PM adalah dalam skala dan impak yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin negara sebelum ini.

“Makanya kami ingin menyeru fokus perjuangan demi negara ini adalah perubahan segera Malaysia di Putrajaya bukan Selangor di Shah Alam,” ujarnya.

Najib  dala blognya berkata, sejak tahun 1986, pembangkang sudah membentuk 9 pakatan seperti Barisan Alternatif yang ditubuhkan pada tahun 1998 tetapi dibubarkan pada tahun 2008. Kemudiannya Pakatan Rakyat yang hidup sejak 2008 hingga 2015.

“Pakatan-pakatan ini terpaksa dibubarkan selepas beberapa tahun.Yang lucunya, pembangkang kini didatangi parti kecil baru yang ingin menukar nama.

“Kepimpinan yang tidak sehaluan akan mendorong Kabinet bertukar dengan kerap. Kesannya, kelangsungan perkhidmatan asas yang disediakan kerajaan akan terhenti atau tergugat.

“Manakala di Selangor pada masa ini, keadaan politik sebenarnya tidak stabil sekiranya PAS atau DAP menarik diri daripada kerajaan, kedudukan Menteri Besar dan kerajaan negeri sudah tentunya akan terjejas,” kata Najib.

COMMENTS

Wordpress (0)