Malaysia Dateline

Perubahan kurikulum perlu sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, kata Pemuda AMANAH

Pemuda AMANAH menekankan bahawa sebarang penambahbaikan atau perubahan yang mahu dibuat terhadap kurikulum sekolah kebangsaan haruslah sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Naib Ketua Pemuda Shazni Munir Mohd Ithnin berkata,dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, jelas termaktub cita-cita besar pendidikan negara.

“Dalam Falsah Pendidikan mahu melahirkan “insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.”

“Perkara ini menjadi teramat penting ketika dunia umumnya sedang bergerak ke arah Revolusi Perindustrian 4.0.

“Malaysia harus berani meneroka sistem pendidikan tersendiri yang mampu mendepani kemajuan semasa, serta konsisten membawa nilai-nilai baik,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau  mengulas mengenai rombakan kurikulum pelajaran baharu yang dijangka akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan pada 2020  atau 2021  kelak.

Ide merombak kurikulum sekolah kebangsaan ini dicetuskan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengusulkan perkara itu sewaktu menghadiri majlis minum petang dan seisi soal jawab bersama diaspora Malaysia di Singapura pada November lepas.

Dilaporkan juga Dr Mahathir dalam pertemuan dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik meminta agar merombak kokurikulum pelajaran untuk  kementerian pendidikan meneruskan perjuangan awal beliau ketika menjadi Menteri Pendidikan pada 1971 iaitu menjadikan masyarakat Malaysia yang bernilai tinggi serta rajin bekerja.

Semalam  Dr Mahathir berkata, kurikulum sekolah kebangsaan akan diubahsuai bagi memberi lebih masa kepada mata pelajaran yang “berguna” dan tidak bertumpu kepada pembelajaran agama semata-mata.