Perubahan politik perlu disertai semua kaum, kata Dr Termizi

Perubahan politik perlu disertai semua kaum, kata Dr Termizi

 

 
Dr. Ahmad Termizi Ramli dilihat pelbagai pihak sebagai tokoh yang bakal membawa dimensi baru politik Malaysia melalui pendekatan merentas kaumnya.

Menurut pemerhati, ucapan Dr. Termizi di pelbagai tempat sangat menarik yang membawa unsur peduli rakyat, menguasai suasana realiti politik semasa, berfakta dan mempunyai visi yang jelas.

Dalam ucapannya di Manong dan beberapa tempat lain, Dr. Termizi menekankan bahawa jika rakyat negara ini mahu melakukan perubahan politik, ekonomi dan sosial di negara ini, ia mesti dilakukan bukan saja oleh orang Melayu, tetapi juga kaum Cina, India dan kaum-kaum lain.

“Ia mesti dilakukan melalui usaha bersama, baru boleh berjaya dan tentunya bukan bersifat perkauman,” kata beliau disambut gemuruh oleh oang ramai yang mendengar.

Konsep inilah, katanya, yang hendak dilakukan oleh parti Amanah dan inilah mesej yang hendak dibawanya kepada para pengundi.

Oleh itu, kata Dr. Termizi, semua pihak rakyat Malaysia yang sedar, perlu menyokong usaha Amanah ini.

“Kita boleh merobah suasana politik, ekonomi dan sosial di Malaysia daripada suasana yang penuh rasuah, ketidakadilan, ketirisan, kepincangan ekonomi dengan usaha bersama rakyat berbilang kaum,” kata Dr. Termizi.

Kalau satu kaum saja hendak melakukan usaha ini, katanya tidak akan berjaya.

“Inilah yang hendak dilakukan oleh Amanah dan saya berharap mendapat sokongan dari rakyat, bukan saja di Kuala Kangsar ini, tetapi juga di seluruh negara,” ujarnya.
 
Calon Amanah itu yang padat dengan jadual kempen, beramah mesra dengan orang ramai pelbagai kaum.

Beliau menekankan bahawa Amanah sangat peduli rakyat, bukan sahaja pada masa pilihan raya, tetapi juga semua masa.

“Saya sudah berada di bidang akademik puluhan tahun untuk negara, sekarang saya hendak berada di tengah rakyat dan memberikan khidmat bakti kepada mereka,” kata beliau.

COMMENTS

Wordpress (0)