Perubahan teknologi peluang cipta kejayaan lebih besar

Perubahan teknologi peluang cipta kejayaan lebih besar

Rakyat perlu melihat perubahan teknologi sebagai satu peluang untuk mencapai kejayaan lebih besar bukan sahaja di dalam negara ataupun di persekitaran rantau tetapi juga di pentas dunia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata melalui pembangunan teknologi sedia ada dan dunia digital yang tidak bersempadan bahkan yang melintas seluruh dunia, Malaysia berkeupayaan menjadi peneraju ekonomi di rantau ini khasnya kerana negara ini terdiri daripada rakyat berkebolehan dalam pelbagai bahasa dan kuat dari sudut pemahaman semangat menghormati agama dan budaya berlainan.

“Ini lebih-lebih lagi apabila kita kini melalui era digital di mana bukan sahaja komunikasi tetapi juga ekonomi dan peluang-peluang yang mengekorinya sedang mengubah corak hidup dan interaksi seluruh dunia.

“Maka sudah tentunya kita dalam kedudukan yang kukuh sekali untuk menjadi negara yang berjaya dan dilihat sebagai contoh ekonomi membangun yang dihormati seluruh dunia,” katanya di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan Megamall yang disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Gobind menekankan bahawa perkembangan teknologi membawa banyak manfaat kepada masyarakat sekiranya diguna dengan berhemah.

“Aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya digunakan dengan meluas oleh semua lapisan masyarakat, dan media sosial ini banyak memberi kesan yang positif kepada pengguna, namun jika tidak digunakan dengan sebaiknya dan berhemah, ia boleh membawa kepada kemudaratan,” katanya.

Beliau berkata sifat rangkaian media sosial yang tidak mengenal sempadan dan boleh dikongsi dengan jutaan pengguna dalam sekelip mata mampu menyebar luas berita-berita palsu jika disalah guna.

“Ia boleh meracuni pemikiran rakyat hingga tidak dapat membezakan perkara yang benar dan palsu, dan sekiranya tidak dibendung, ini boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat dan membawa kesan yang buruk kepada negara.

“Sehubungan itu, saya memohon supaya semua pihak berhati-hati dalam menyebarkan atau berkongsi berita di dalam media sosial dan sentiasa berhemah apabila membuat ataupun berkongsikan sebarang kenyataan,” katanya.

Gobind juga menyeru kepada pelbagai pihak untuk menyemak dahulu dan mengesahkan kesahihan berita yang diterima sebagai satu usaha untuk membanteras penularan berita palsu di laman sosial dan internet supaya dapat memastikan keamanan dan ketenteraman awam negara ini sentiasa dilindungi.

— BERNAMA