Malaysia Dateline

Perumahan berkualiti, kondusif jadi keutamaan kerajaan PH

Pembinaan rumah yang berkualiti dengan persekitaran kondusif bagi golongan berpendapatan rendah dan termiskin akan terus menjadi keutamaan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata PH menyasarkan pencapaian pemilikan 500,000 unit kediaman bagi golongan tersebut dalam tempoh lima tahun ini.

“Kajian impak sosial akan dijalankan sebelum sesuatu projek perumahan dilaksanakan bagi memastikan kualiti suasana kawasan perumahan terjamin dari segi keselamatan dan persekitaran kondusif.

“Pendekatan sebegini memerlukan perancangan rapi bagi memastikan kebajikan rakyat didahulukan. Sistem perolehan tanah dengan harga berpatutan dan tawaran pembinaan rumah secara tender terbuka akan diamalkan bagi memastikan harga rumah terkawal,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu beliau hari ini.

Katanya zaman pemberian rumah yang dibuat secara pilih kasih akan digantikan dengan sistem pemberian saksama mengikut keperluan sebenar melalui data maklumat rakyat serta keluarga yang belum memiliki apa-apa kediaman.

“Diharap tahun 2019 memberi harapan sinaran yang lebih gemilang untuk kita merintis jalan ke arah negara yang lebih sejahtera di era Malaysia Baharu dan semoga ia membawa pencapaian yang kita hajatkan. Insya-Allah. Selamat menyambut Tahun Baharu 2019,” katanya.

— BERNAMA