Perumahan: Pemuda Umno boleh tipu ahli bukan rakyat, bidas Pemuda AMANAH

Perumahan: Pemuda Umno boleh tipu ahli bukan rakyat, bidas Pemuda AMANAH

Usaha Pemuda Umno untuk menutup kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang gagal menepati janji untuk menyediakan 1.1juta rumah mampu milik kerajaan dibidas Pemuda Amanah.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahaan AMANAH Mohd Ammar Atan berkata, beliau tergelak besar apabila membaca kenyataan dibuat oleh Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan Pemuda Nazir Hussin Akhtar Hussin yang sebagaimana dilaporkan media semalam.

Nazir Hussin dipetik berkata, beliau merakamkan penghargaan terhadap kerajaan dalam menangani isu perumahan golongan muda apabila telah membina Projek Rumah Transit Belia yang dikatakan sebagai usaha kerajaan dalam membantu golongan belia menabung untuk membeli atau memiliki rumah kediaman sendiri selepas berakhirnya tempoh sewaan selama lima tahun.

“Tergelak besar saya baca kenyataan biro perumahaan Pemuda Umno.Setakat nak menipu ahli Umno sendiri bolehlah, tapi rakyat bukan bodoh untuk mempercayai sesuatu yang tidak selari dengan realiti dihadapan mata mereka.

“Mari saya tunjukkan data terkini kedudukan rumah mampu milik seluruh Malaysia kepada Pemuda Umno, ” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya kerajaan Umno telah berjanji untuk bina 1.1 juta rumah mampu milik menjelang 2018. Setakat ini, hanya 241,745 unit rumah mampu milik atau 21.3% telah tercapai daripada sasaran asal kerajaan untuk disiapkan.

Pada tahun 2013, kerajaan telah berjanji untuk menyediakan 1 juta unit rumah mampu milik dalam tempoh 5 tahun, menjelang 2018. Tiga tahun kemudian, kerajaan telah meningkatkan sasaran kepada 1.1 juta sasaran unit rumah mampu milik dengan tujuan untuk memenuhi kehendak pasaran.

“Perumahan Rakyat satu Malaysia (PR1MA) antara contoh mudah kegagalan kerajaan klpetokrat Umno BN dalam menepati janji mereka kepada rakyat.

“Menjelang 2018, PR1MA sepatutnya telah membina 500,000 unit rumah mampu milik, malangnya seakat ini hanya 9,791 unit rumah atau 2% yang berjaya disiapkan.

“Malangnya buat rakyat Malaysia, mereka telah ditipu bulat-bulat oleh Pemuda Umno dalam isu perumahan mampu milik,” dakwanya yang mendesak  kerajaan BN untuk memohon maaf kepada rakyat kerana kegagalan  untuk menepati janji dalam membina 1.1 juta unit rumah mampu milik untuk rakyat.

Pada Selasa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Aman, Kepong dan Pelancaran Perumahan Transit Belia Kuala Lumpur.

Manakala pembinaan fasa pertama projek Rumah Transit Belia di Mukim Batu, Wilayah Persekutuan pada tahun lalu.

CATEGORIES
TAGS