Malaysia Dateline

Perumahan rakyat

Menyelesaikan masalah perumahan rakyat memang menjadi fokus utama kerajaan PH negeri. Disamping meneruskan program perumahan yang dilaksanakan Lembaga Perumahan Melaka (LPM), pelbagai program baru yang lebih menyeluruh dan bersasar dilaksanakan kerajaan PH negeri.

Antaranya adalah Rumah Peduli yang diberikan secara percuma kepada golongan miskin tegar (pendapatan kurang RM1,000 sebulan).

Sebagai permulaan sejumlah 98 unit telah diluluskan di Fasa 1 (2019) dengan peruntukan RM3 juta. Kerajaan negeri pimpinan saya menyasarkan membina 500 unit rumah mampu milik berharga RM30,000 (2 bilik) dan RM37,500 (3 bilik) pada penggal pertama pemerintahan PH.

Namun usaha ini terbantut ekoran pertukaran kerajaan.

Rumah mampu milik untuk golongan belia @ Rumah Belia yang pertama di negara ini turut dilaksanakan bagi golongan berumur 20-35 tahun dengan pendapatan tidak melebihi RM8000 sebulan (B40 & M40).

Bagi Fasa 1 (Mac 2019), sejumlah 104 unit ditawarkan dengan lebih 600 permohonan diterima. Kerajaan PH negeri juga telah meluluskan pembinaan 176 unit Rumah Belia bagi Fasa 2 pada Feb 2020.

Untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, kerajaan PH negeri telah melaksanakan program Rumah Berkat.

Rumah transit 3 bilik dengan keluasan 750 kaki persegi ini disewakan pada kadar RM150 sebulan. Pasangan belia berusia 20-35 tahun dengan pendapatan kurang RM3,000 sebulan (B40) layak memohon.

Tiga projek perintis (2019) dilaksanakan di Kampung Padang, Lereh dan Ujong Pasir berjumlah 60 unit. Kerajaan PH negeri menyasarkan 500 unit Rumah Berkat bagi penggal pertama pentadbirannya.

Satu lagi program perumahan yang dilaksanakan adalah Rumah Harapan – projek rumah mampu milik berharga RM80,000-RM100,000 dengan 3 bilik berkeluasan 850 kaki persegi. Golongan yang layak memohon berpendapatan tidak melebihi RM6,000 (B40 & M40).

Program di atas adalah sebahagian usaha kerajaan PH negeri untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat. Saya berharap usaha murni itu dapat kita teruskan jika PH diberi mandat semula untuk mentadbir negeri bersejarah ini.