Perumahan selesa akan ganti setinggan Kota Bharu

Perumahan selesa akan ganti setinggan Kota Bharu

Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa mendedahkan situasi semasa masyarakat daif di tengah ibu negeri itu, Kota Bharu hasil tinjauannya baru-baru ini.

Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa mendedahkan situasi semasa masyarakat daif di tengah ibu negeri itu, Kota Bharu hasil tinjauannya baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat 17 keluarga yang sangat daif di Sri Cemerlang dengan kediaman masing-masing hanya merupakan gubuk usang dengan air limpahan di bawah rumah.

“Semak samun bagaikan rimba kecil dan bau yang tidak menyenangkan. Mak cik dan pak cik terkena strok, yang lain dengan keuzuran yang amat sangat.

“Seorang dari mereka, berkeadaan strok dengan gubuk dari zink berukuran 8’ X 10/12 kaki. Tidak mempunyai apa-apa pendapatan. Gubuknya tidak mempunyai bilik air,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, warga emas terbabit yang berehat dan tidur di pangkin kayu itu juga terpaksa membuang air di tandas surau berhampiran dengan pada masa sama mengalami masalah kekurangan fizikal.

“Hajatnya ditunaikan di tandas surau. Berjalan tanpa selipar. Bertongkat. Terlihat susahnya beliau untuk bergerak.

“Sudah sekian lama penduduk kampung cuba mendapatkan bantuan membina tandas di sebelah gubuknya. Tetapi hajat si uzur ini tidak kesampaian,” ujarnya dipetik dari status Facebook beliau.

Agih bantuan tiga anak muda 

Menyifatkan dirinya terkejut dengan realiti golongan miskin tegar yang dipanggilnya sebagai “wajah dhua’afa” (individu yang kurang mampu dari segi ekonomi dan fizikal), Husam memberi jaminan kesusahan melampau itu bakal dapat ditangani jika Amanah berpeluang mentadbir negeri itu.

“Ya Allah! Besarnya tanggungjawab kami sebagai pemimpin tanpa kuasa, untuk meringankan beban hamba-Mu di Negeri bergelar Serambi Mekah, Membangun Bersama Islam.

“InsyaAllah, jika diizinkan Amanah mentadbir Kelantan, setinggan di tengah bandar Kota Bharu akan ditempatkan dengan perumahan selesa yang sesuai dengan mereka. Ia tidak mustahil. Kepekaan pemimpin adalah kuncinya,” katanya.

Berkongsi lanjut, Husam turut memberitahu, tiga anak muda tanpa dipinta memberikan sejumlah sumbangan kepadanya ketika beliau dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur.

“Hari ini (kelmarin), saya bahagikan amanah itu kepada si miskin yang keuzuran, dhaif dan amat memerlukan. Sri Cemerlang, Batu Dua Jalan Kuala Krai dan Bunut Payung, destinasi yang sempat saya ziarahi hari ini.

“Di Batu Dua, kami bangunkan bangsal kecil untuk mak cik bergubuk buruk dengan emaknya terlantar sakit untuk jualan runcit bagi anak-anak sekolah. Kebetulan rumah sewaan mereka berada di sebelah pintu pagar belakang sekolah.

“Baki sumbangan tiga anak muda masih ada, akan disambung misi Wajah Dhua’afa di mana jua di Kelantan,” tambahnya lagi sambil mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi tujuan tersebut dengan menghantar mesej kepada beliau di media sosial itu.

Untuk rekod, Kelantan pernah dilapor menjadi negeri kedua tertinggi menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2010 dengan angka seramai 30,751 orang membabitkan peruntukan sebanyak RM70 juta sepanjang tahun itu.

Golongan terbesar penerima bantuan itu terdiri daripada ibu tunggal iaitu hampir 10,000 orang manakala bakinya adalah golongan miskin serta kurang upaya.

Angka tersebut dijangka bertambah beberapa tahun kebelakangan ini akibat peningkatan kos hidup ekoran penguatkuasaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan pemansuhan subsidi bahan api.

TAGS