Perunding kewangan kongsi 5 cara bijak guna Akaun 3 KWSP, syaratnya jangan ikut kehendak!

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang perunding kewangan berjaya mencuri perhatian selepas berkongsi langkah-langkah menggunakan wang simpanan di dalam Akaun Fleksibel atau Akaun 3.

Menerusi satu hantaran di Instagram, perunding dikenali sebagai Azizul Azli Ahmad itu mengakui menerima banyak soalan berhubung pengeluaran dari akaun tersebut.

Azizul bagaimanapun tidak mampu memaksa semua pencarum supaya menyimpan sahaja tabungan persaraan tersebut memandangkan ia adalah hak masing-masing.

Namun perunding terbabit memutuskan untuk berkongsi ilmu mengenai perbelanjaan bijak supaya pencarum tidak melakukan keputusan yang merugikan mereka

“Duit kita, maka ikut sukalah nak belanja macam mana. Apabila dinasihatkan jangan keluarkan simpanan jika tidak memerlukan, nanti akan ada yang cepat terluka pula.

“Maka, saya senaraikan pilihan kalau nak keluarkan juga sebab ‘duit anda hak anda’. Sebaiknya, lakukan perkara ini sahaja dengan duit (Akaun 3) yang akan dikeluarkan kelak.

“Saya berpandangan sebaiknya tinggalkan sahaja wang dalam akaun KWSP. Kasar pulangan dividen juga sihat. Mati itu pasti, tetapi bersara tanpa duit lebih terluka. Percayalah!.” Tegasnya.

1. Bayar hutang

Pastikan kadar hutang lebih tinggi daripada pulangan dividen yang diberikan pihak KWSP. Contohnya pembiayaan peribadi atau kad kredit. Jadi kadar faedahnya tinggi.

Hal ini bagaimanapun dengan hutang pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di mana kadarnya hanya satu hingga dua peratus sahaja.

Oleh yang demikian, lebih baik sekiranya simpanan di dalam akaun KWSP 3 itu tidak dibelanja dan berkembang sendiri dengan pulangan lima ke enam peratus setahun.

2. Tabung dana kecemasan

Pengeluaran boleh dibuat untuk dijadikan sebagai tabung kecemasan jika pencaru, tidak memiliki dana simpanan tiga hingga enam bulan gaji selepas bertahun bekerja.

3. Keperluan pendidikan

Simpanan di dalam Akaun 3 ini boleh digunakan untuk membeli alat elektronik seperti laptop mahupun telefon pintar baharu asalkan tujuannya hanya untuk pembelajaran.

Alat telekomunikasi ini juga harus digunakan dengan bijak agar dapat menjana lebih banyak keuntungan sekaligus boleh menggantikan simpanan yang telah dikeluarkan.

4. Tambah kemahiran

Pencarum boleh menggunakan simpanan tersebut dengan mengikuti kelas, bengkel, seminar mahupun sambung semula pembelajaran bagi memperbaiki kemahiran kita.

Apabila kemahiran bertambah, nilai diri juga meningkat seterusnya dapat digunakan untuk menjana lebih banyak keuntungan dan tentunya simpanan.

5. Beli emas

Pembelian emas juga merupakan satu keputusan yang bijak kerana statusnya yang sentiasa bernilai sepanjang zaman. Malah harga emas juga meningkat saban tahun.

Menjamin keuntungan yang tinggi, pencarum juga digalakkan untuk membeli emas lalu menyimpannya untuk kegunaan di masa hadapan.

Baca juga: “Benda dah bayar, takkan nak simpan video” – Aliff Syukri tampil pertahan diri jadikan Ruhainies model