Malaysia Dateline

Husam Musa

Peruntukan Adun: Husam mahu Pas laksanakan dulu di Salor

 

Adun Salor Datuk Husam Musa dijangka akan menghantar senarai peruntukan untuk Dun Salor kepada kerajaan negeri Kelantan hari ini,   susulan kenyataan yang dibuat  Presiden Pas Abdul Hadi Awang dan disokong oleh Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan, Che Abdullah  berkaitan peruntukan kepada Adun  Pas di Selangor yang dibekukan.

“Saya ingatkan Kerajaan Selangor tunggu Kerajaan Pas Kelantan buat keadilan kepada kami di Salor dulu.

“Esok (hari ini) saya akan menghantar senarai peruntukan untuk rakyat Salor.

“Saya berharap kerajaan Selangor mengikuti tindakan adil, demokratik dan Islamik Kerajaan Pas Kelantan nanti,” ujarnya dalam kenyataannya semalam.

Pada Ahad lalu Abdul Hadi  mengingatkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya tidak mencampuradukkan isu politik dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri kerana membekukan peruntukan kepada Adun Pas di negeri itu.

Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan yang juga exco negeri itu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, pada Selasa, turut menyokong kenyataan  dibuat Abdul Hadi.

Husam yang gembira dengan dua kenyataan pemimpin parti Islam itu  bertindak segera atas ‘keadilan’ tafsiran Pas itu untuk dilaksanakan pula oleh kerajaan Kelantan.

“Presiden Pas yang menegur Menteri Besar Selangor berkenaan perkara ini disambut dengan mengajuk cakap yang sama oleh Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, dengan tambahan ‘tidak adil’.

“Saya selaku Adun Kelantan nampaknya akan memperolehi semula hak saya mengagihkan peruntukan Dun Salor.

“Terima kasih Presiden Pas dan Exco Kelantan kerana memperjuangkan keadilan untuk saya,” katanya.

Sebelum itu pada 18 Januari lalu Pas Selangor menyatakan mereka tidak menolak kemungkinan untuk mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah jika peruntukan dana kepada Adun parti itu dibekukan.

Peruntukan itu dikatakan berjumlah RM800,000.