Malaysia Dateline

Peruntukan Adun Johor ditingkatkan kepada RM800,000 setahun sejajar keperluan rakyat

Cadangan peruntukan RM800,000 setahun diberikan kepada wakil rakyat negeri ini antara lima resolusi yang dicapai pada Bengkel Memperkasa Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor  sejajar dengan keperluan rakyat, kata Speaker Dun Suhaizan Kaiat.

Beliau berkata, dengan keperluan rakyat yang semakin meningkat, memandangkan peruntukan RM350,000 setahun kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di neger itu pada masa kini, tidak mencukupi.

“Wakil rakyat perlu melaksanakan pelbagai aktiviti bersama rakyat dengan lebih kerap. Dicadangkan, peruntukan baharu RM800,000 setahun itu perlu dilaksanakan mulai tahun 2020,” katanya semasa berucap pada majlis penutup bengkel berkenaan yang disempurnakan oleh Menteri  Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, pada Isnin,.

Suhaizan berkata selain peruntukan, empat resolusi lain adalah berhubung penstrukturan semula institusi Dun Johor, mewujudkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan, meningkatkan mutu perbahasan DUN Johor serta melaksanakan ‘live streaming’ setiap kali Dun Johor bersidang.

Beliau berkata kelima-lima resolusi itu akan diserahkan kepada Dr Sahruddin bagi melakukan penambahbaikan terhadap Dun Johor.

“Usaha menstruktrur institusi Dun Johor adalah perlu supaya ia dapat melaksanakan fungsinya dengan berkesan. Institusi ini berhak merancang, melaksana dan menilai fungsinya dengan sumber kewangan yang mencukupi.

“Fungsi institusi Dun yang lebih besar selepas ini memerlukan kepada Jurutulis khusus menumpukan kepada urusan Dun sahaja dan dipisahkan daripada urusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) seperti amalan sekarang,” katanya.

Menurut Suhaizan, terdapat keperluan untuk mewujudkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan berbanding hanya tiga sahaja ketika ini dan pewujudan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas adalah selari dengan amalan Parlimen di negara luar sejajar dengan Recommended Benchmarks For Democratic Legislatures, Commonwealth Parliamentary Association (CPA).

Katanya bidang baharu Jawatankuasa Pilihan yang berteraskan kepada keperluan rakyat seperti perumahan, pekerjaan, sara hidup, keselamatan dan alam sekitar perlu dikemukakan untuk kelulusan DUN Johor dengan elaun yang munasabah perlu diberikan kepada semua anggota jawatankuasa yang hadir ke mesyuarat.

“Bagi mencapai perbahasan yang dinamik standing dengan negara maju, Peraturan-Peraturan Berbahas dalam Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap, Artikel 45 (ii) “Tidak boleh disampuk” perlu digugurkan. Bagi menjimatkan masa perbahasan pula, tiada keperluan untuk semua Adun berucap setiap kali bersidang. Speaker akan memilih sebahagian Adun yang benar-benar bersedia sahaja untuk berbahasa seperti amalan Parlimen Malaysia,” katanya.