Peruntukan Ahli Parlimen Bandar Kuching hampir 4 juta sepanjang 2019

Peruntukan Ahli Parlimen  Bandar Kuching hampir 4 juta sepanjang 2019

Parlimen Bandar Kuching telah memperuntukkan sebanyak RM3,932,903.40 bagi pelaksanaan projek dan bantuan kebajikan sepanjang tahun 2019.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dari DAP Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, peruntukan itu merangkumi enam tumpuan utama iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan, penglibatan masyarakat, geran untuk persatuan, projek infrastruktur kecil dan kebajikan.

Katanya, pendidikan telah melibatkan geran sebanyak RM899,911; kesihatan RM518,350; penglibatan masyarakat RM464,053, persatuan RM382,586, projek infrastruktur kecil RM1,335,100 dan kebajikan RM332,903.40.

“Kesemua peruntukan berkenaan telah dibayar sepenuhnya manakala beberapa projek fizikal telah siap pada tahun lalu sementara baki (projek) akan siap tidak lama lagi pada tahun ini.

“Beberapa projek fizikal kecil yang belum siap adalah melibatkan kerja naik taraf dan ubah suai sekolah yang mana pembinaannya hanya boleh dimulakan pada akhir tahun semasa musim cuti sekolah,” jelas beliau menerusi kenyataan di Kuching hari ini.

Katanya, bagi Pejabat Khidmat beliau turut diberi peruntukan sebanyak RM2 juta dan peruntukan tersebut tidak mengambil kira peruntukan tambahan yang diperoleh daripada Kerajaan Persekutuan melalui kementerian-kementerian berlainan bagi manfaat kawasan.

Jelasnya, berdasarkan peruntukan itu terdapat garis panduan yang diberikan mengenai penggunaan peruntukan.

“Bagi bantuan kebajikan dan bencana, kami akan memberikan kepada penduduk dan masyarakat di Bandar Kuching dan untuk Pejabat Khidmat, ia digunakan untuk membantu penduduk miskin dengan keperluan harian mereka, pendidikan anak-anak perbelanjaan pengebumian, perbelanjaan hospital dan penjagaan kesihatan, keluarga yang terjejas akibat banjir kilat, kebakaran rumah dan juga, mangsa penipuan di luar negara,” ujarnya.

Dr Yii menambah, semua persatuan yang menerima peruntukan dikehendaki memberikan laporan rasmi mengenai kegiatan dan perbelanjaan mereka.

Ini kerana, katanya supaya pejabat beliau dan kementerian sentiasa memantau penggunaan dan peruntukan yang sesuai dan bertanggungjawab di samping menilai peruntukan yang seterusnya berdasarkan nilai impak kepada masyarakat bagi setiap program yang dilakukan oleh persatuan.

Pada masa sama, beliau turut memperuntukkan sejumlah RM2 juta untuk projek kecil di bawah kategori yang dikenali sebagi ‘Projek Mesra Rakyat (PMR).

Tambahnya lagi, peruntukan itu memerlukan proses terbuka yang dilakukan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk memilih kontraktor yang sesuai untuk projek tersebut.

“Sebagai anggota Parlimen, saya tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pemilihan kontraktor bagi mencegah penyalahgunaan kuasa.

“Ini adalah berdasarkan garis panduan yang dipersetujui, projek kecil yang dalam bidang kuasa mana-mana majlis tempatan sama ada Majlis Bandar Kuching Selatan (MBKS) atau Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) juga memerlukan kelulusan daripada mereka serta semua kerja dilaksanakan kontraktor terpilih perlu mengikuti spesifikasi dan reka bentuk yang ditetapkan oleh majlis tempatan selaras dengan reka bentuk perancangan keseluruhan bandar,” tegasnya.

Justeru untuk tahun 2020, beliau telah membuat perancangan dan berharap dapat bekerja dengan komuniti yang berbeza untuk lebih banyak aktiviti, projek dan program berasaskan komuniti di Bandar Kuching.