Malaysia Dateline

Peruntukan Dun Sarawak mesti telus bantu keluarga miskin hadapi PKP

Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) mesti telus dan bersih dengan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi setiap Dewan Undangan Negeri(Dun) di negeri ini.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, peruntukan itu adalah bagi membantu keluarga miskin di setiap kawasan Dun ketika menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu sehingga 28 April ini.

Katanya, selepas pengumuman peruntukan RM200,000 untuk setiap Dun oleh Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Tun Openg, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dimaklumkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bahawa Pusat Khidmat Dun akan menerima dana untuk membeli makanan dan membantu keluarga miskin di kawasan masing-masing.

“Namun, dalam masa kurang 24 jam, JKM memberitahu bahawa peruntukan RM200,000 yang dimaksudkan untuk kawasan Dun DAP ditahan oleh Kerajaan Negeri selain setiap Adun DAP harus menyerahkan nama, alamat dan nombor telefon keluarga yang memerlukan bantuan di kawasan bagi mereka menguruskan pengagihan bantuan makanan.

“Setelah kami Adun DAP menyerahkan nama dan alamat keluarga yang memohon bantuan kepada JKM, bagaimanapun kebanyakan nama yang dihantar itu tidak mendapat sebarang bantuan.

“Saya menunggu beberapa hari untuk melihat adakah bantuan makanan itu dihantar kerana saya memanggil pemohon secara individu untuk bertanya dan diberitahu oleh kebanyakan mereka bahawa JKM tidak pernah menghantar bantuan barang makanan,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Chong, beliau telah merujuk dan berjumpa dengan JKM namun dimaklumkan
bahawa hanya kurang daripada 20 peratus nama pemohon yang diberikan maklumat sebelum ini telah diluluskan.

Tegasnya lagi, JKM turut memberitahu bahawa atas arahan daripada pihak kementerian melarang mereka untuk mendedahkan nama permohon yang telah diluluskan.

“Saya juga dimaklumkan bahawa pada 13 April lalu, JKM telah mengagihkan makanan kepada seramai 875 keluarga di Dun Padungan, 738 Dun Pending, 3,612 Dun Batu Lintang dan 1,675 di Dun Kota Sentosa.

“Bagaimanapun, semasa saya mengambil inisiatif sendiri menyumbang bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan, saya turut diberitahu oleh rata-ratanya penduduk tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak sebelum ini.

“Kebanyakan mereka adalah keluarga yang tinggal di rumah kayu, kawasan perumahan kos rendah atau menyewa bilik di tingkat atas rumah kedai,” tambahnya.

Justeru beliau ingin bertanya kepada pihak Kerajaan Negeri Sarawak, bagaimana setiap peruntukan RM200,000 untuk Padungan, Pending, Batu Lintang dan Kota Sentosa dibelanjakan.

“Mengapa terdapat keperluan untuk berahsia siapa penerima? Mengapa kementerian enggan menggunakan pendekatan yang lebih telus dan kurangkan berpolitik untuk bekerjasama pada masa krisis nasional dan antarabangsa ini?

“Saya serta Adun DAP lain sentiasa menyokong supaya lebih banyak lagi peruntukan disalurkan untuk rakyat di negeri ini ketika ini.

“Oleh demikian, dengan peruntukan yang lebih banyak itu, ia mestilah telus agar semua rakyat dapat menikmatinya,” kata Chong.