Malaysia Dateline

Peruntukan institusi pendidikan Islam P. Pinang meningkat 39.32 peratus

Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneruskan usaha meningkatkan peruntukan dan kepedulian terhadap perkembangan institusi pendidikan Islam di negeri ini.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman semasa majlis penyampaian bantuan sekolah-sekolah agama rakyat Pulau Pinang di Seberang Jaya kelmarin.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri telah memperuntukan sejumlah RM2.482 juta bagi maksud tersebut jika dibandingkan dengan jumlah sebanyak RM1.78 pada tahun yang lalu.

Malah katanya, peningkatan sebanyak 39.32 peratus atau RM700,000 tersebut merupakan sebahagian dari usaha bagi memartabatkan institusi pendidikan agama Islam di Pulau Pinang.

“Sumbangan yang diberikan pada kali ini merupakan kali kesebelas sejak mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri pada tahun 2008 lagi.

“Sejumlah 102 kelas KAFA mendapat bantuan yang disalurkan pada kali ini.

“Selain itu turut mendapat manfaatnya ialah 900 guru-guru KAFA Integrasi dengan sumbangan RM500 setiap orang,” tegasnya.

Manakala itu katanya, sebanyak RM338,000 disalurkan kepada 11 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat dan RM211,600 kepada 11 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Di samping itu sumbangan juga diberikan kepada 12 buah Sekolah Rendah Agama Rakyat dengan jumlah peruntukan sejumlah RM432,500.

Tambah Ahmad Zakiyuddin lagi, 40 buah Maahad Tahfiz juga diberikan sumbangan sebanyak RM204,040 serta RM807,550 kepada KAFA Integrasi yang melibatkan 102 buah Sekolah Agama Rakyat.

“Sebanyak RM50,800 disalurkan kepada 16 buah Tadika Islam.

“Begitu juga kepada 10 buah Sekolah Pondok turut diberikan sumbangan sejumlah RM100,000.

“102 buah KAFA Tulen juga diberi perhatian apabila menerima peruntukan sebanyak RM337,800” katanya lagi.

Hadir sama dalam majlis penyampaian sumbangan tersebut ialah Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim serta Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang aya, Dr Afif Bahardin.