Malaysia Dateline

Peruntukan Jasa dikurangkan sebanyak RM45 juta

Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul agar peruntukan bagi Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dikurangkan sebanyak RM45 juta dari peruntukan asal RM85.5 juta sebelum ini.

Usul itu dikemukakan oleh Timbalan Menteri Kewangan I Abd Rahim Bakri untuk meminda jumlah peruntukan dalam Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 dan diluluskan secara undian suara majoriti.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan peruntukan bagi Jasa yang kini dijenamakan sebagai J-Kom, hanya sebanyak RM40.5 juta.

Terdahulu, penubuhan semula Jasa menjadi topik perbahasan yang paling banyak dibangkitkan blok pembangkang di mana majoritinya tidak bersetuju dengan peruntukan besar yang dibekalkan.

Mereka juga mengingatkan bahawa undi belanjawan hanya akan diberikan sekiranya kerajaan mengurangkan atau membatalkan peruntukan bagi jabatan berkenaan.

Untuk rekod, Jasa pernah dimansuhkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).