Peruntukan khas RM200,000 setahun buat pelajar Perak di Mesir

Peruntukan khas RM200,000 setahun buat pelajar Perak di Mesir

Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan peruntukan khas secara tahunan sebanyak RM200 ribu bagi membiayai pengurusan pelajar-pelajar dari negeri Perak yang menuntut pengajian di Mesir.

Peruntukan tersebut diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi ketika program Majlis Ramah Mesra Bersama Pelajar-Pelajar Perak di Mesir di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK), Mesir semalam.

Difahamkan sebelum ini tiada peruntukan khusus secara tahunan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Perak untuk pengurusan pelajar di Mesir.

Peruntukan itu antara lain untuk menampung kos tambang pengangkutan pelajar, perlaksanaan program secara berkala dan kos pengurusan pejabat serta pembayaran bil utiliti termasuklah air dan elektrik di Wisma Perak Baitul Rahman, Kaherah.

Ia itu juga adalah untuk menampung kos perubatan para pelajar dan sumbangan khusus kepada pelajar sekiranya ada dari kalangan ahli keluarga menerima musibah dan kematian.

Menurut Asmuni, ketika lawatan delegasi Kerajaan Negeri Perak yang diketuai oleh bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal pada ogos lalu, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50 ribu.

Namun kata beliau, setelah menilai keperluan dengan mengambil kira pelbagai aspek, Kerajaan Negeri Perak telah menaikkan peruntukan kepada RM200 ribu setahun.

“Kami mengambil maklumat secara teliti dengan mengambil kira keperluan kos pengurusan pelajar-pelajar Perak disini dan bersetuju menaikkan peruntukan daripada RM50 ribu yang dipersetujui di peringkat awal kepada RM200 ribu.

“RM200 ribu itu termasuklah kos sewaan bas untuk para pelajar kita disni, kos pengurusan pejabat dan pembayaran utiliti wisma Perak,” katanya.

Dalam majlis itu juga, sesi soal jawab telah diadakan bersama para pelajar Perak di Mesir dengan barisan delegasi Kerajaan Negeri Perak bagi mendengar permasalahan, cadangan dan harapan pelajar-pelajar.

Asmuni telah meluluskan serta merta beberapa permintaan dan permohonan dana dari pelajar-pelajar antaranya permohonan pelajar yang sedang menyambung pengajian ijazah sarjana (master) untuk mendapat peruntukan khas bagi menampung kos pembelajaran mereka.

Setelah berbincang secara serta merta bersama Pegawai Kewangan Negeri Perak, Asmuni bersetuju untuk meluluskan bantuan sebanyak RM7 ribu setiap seorang untuk setahun bagi tempoh tiga tahun dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Asmuni juga turut mengambil maklum kos pengajian bidang perubatan yang mencecah USD8000 setahun dan akan meneliti perkara ini dengan Lembaga Pinjaman Pelajaran Negeri Perak dalam masa terdekat.

Adun Manjoi itu juga telah meluluskan sebanyak RM8500 permohonan sekumpulan pelajar Perak untuk menjalankan program pemantapan ilmu Thurat.

Selain itu, beberapa keperluan asas yang dimohon oleh pelajar-pelajar telah diluluskan termasuklah menyediakan mesin penapis air di kawasan kediaman pelajar.

Dalam perkembangan berkaitan, Asmuni menjelaskan Kerajaan Negeri sangat mengambil berat terhadap perkembangan pelajar Perak yang menyambung pelajar di timur tengah terutama di Mesir.

Beliau mengharapkan pelajar-pelajar meningkatkan kualiti pembelajaran terutama kemahiran bahasa Arab yang menjadi matlamat utama para pelajar menyambung pengajian disini.

“Saya sentiasa mengambil perhatian dalam hal ini, dan saya akan berhubung dengan wakil Kerajaan Negeri disini secara berkala untuk mendapatkan maklumat tentang prestasi ke semua 750 orang pelajar dan permasalahan sekiranya berlaku,” katanya.

Seramai 452 orang pelajar Perak telah hadir ke program tersebut bagi sama-sama menyambut delegasi Kerajaan Negeri Perak yang disertai oleh Pegawai Kewangan Negeri Perak, Dato’ Abu Bakar Said; Pengurus Besar Yayasan Perak, Aida Hazlyn Hassan dan Timbalan Pengarah JAIPk, Ustaz Harith Fadzilah Abd Halim.

Tujuan lawatan Kerajaan Negeri Perak ke timur tengah termasuklah Mesir. Antara lain, mahu melihat sendiri keadaan pelajar-pelajar Perak yang melanjutkan pelajaran disini.