Peruntukan KKM kedua tertinggi, saya gembira, kata Menteri Kesihatan

Peruntukan KKM kedua tertinggi, saya gembira, kata Menteri Kesihatan

Dalam Belanjawan 2019 peruntukan bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengalami peningkatan kedua tertinggi selepas Kementerian Pendidikan.

Pada belanjawan kali ini Kementerian Kesihatan memperoleh penambahan 7.8 peratus hampir RM29bilion kepada perkhidmatan kesihatan.

Manakala Kementerian Pendidikan penerima peruntukan terbesar RM60.2bilion dengan peningkatan 19.1 peratus dalam Belanjawan 2019.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad berkata, dengan pengumuman kerajaan mengenai peruntukan RM100juta untuk Skim Perlindungan Kesihatan (Peka) adalah berita yang mengembirakan bagi kementerian, selain pengumuman pertambahan peruntukan kepada 7.8 peratus.

“Saya sangat gembira peruntukan kesihatan Malaysia mengalami peningkatan ia sesuatu yang sangat baik untuk kementerian dan rakyat.

“Yang paling penting pengumuman kerajaan terhadap golongan B40 dengan peruntukan RM100juta untuk memulakan program Skim Perlindungan Kesihatan (Peka) dengan pemberian insentif kepada 800,000 orang,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline selepas pembentangan Belanjawan 2019 semalam.

Beliau berkata dengan peningkatan perbelanjaan pembangunan kepada RM2.1bilion berbanding RM1.8bilion pada 2018, KKM akan dapat melaksanakan program kesihatan untuk rakyat.

“Ini memberikan tanggungjawab kepada kementerian untuk memastikan tahap pengurusan kesihatan awam akan terus dipertingkatkan.

“Keseluruhan saya rasa teruja peruntukan diberikan walaupun kita tahu hutang negara cecah RM1.06 bilion, kami ucapkan terima kasih dengan peruntukan yang besar ini berbanding kementerian-kementerian lain.

“Kini penting untuk kami dalam kementerian untuk memastikan KKM dapat mengurus dengan baik dan efisien untuk kami perkembangan fasiliti kesihatan, dan penjagaan kesihatan di setiap lapisan masyarakat,” ujarnya.

Kementerian kesihatan juga telah mensasarkan tahun 2045 ke arah Malaysia Bebas Rokok.

Oleh itu kementerian katanya, telah meluaskan kawasan larangan merokok kepada semua restoran dan kedai makanan yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2019.

Kata Dr Zulkifly lagi, kementerian sudah bersedia dengan pegawai penguatkuasaan kesihatan apabila peraturan itu dikuatkuasakan kelak di seluruh negara tahun depan.

Ditanya sama ada dengan peruntukan yang tinggi diperoleh kementerian kesihatan dalam Belanjawan 2019 kali ini berhubung kait dengan KPI di bawah kepimpinannya, Dr Zulkifly tidak menolak kemungkinan itu.

“Mungkin juga…kami menerima kritikan sebagai cabaran dan amanah untuk kami laksanakan tanggungjawab di setiap jabatan dalam KKM. Jika diberikan peruntukan tinggi ini bermakna kita sangat bertangungjawab dalam mendengar aduan rakyat,”ujarnya.

COMMENTS