Malaysia Dateline

Peruntukan rendah pertanian pintar bantut usaha tingkat keselamatan makanan

Belanjawan 2021 yang dibentangkan tidak mensasarkan perancangan yang berkesan bagi meningkatkan keupayaan produktiviti pertanian.

Bagaimana mampu diri (self sufficiency) ini boleh dicapai dalam tempoh terdekat. Adakah jawapan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah di Parlimen baru-baru ini bahawa negara akan mencapai self sufficiency sekadar unjuran peratusan?

Malaysia berisiko besar mengalami kelumpuhan pertanian jika kerajaan gagal melaksanakan pelan jangka panjang strategik untuk merangsang Revolusi Pertanian Pintar atau Smart Agriculture.

Seperti yang telah saya tekankan sepanjang dua tahun yang lepas, sektor pertanian Malaysia perlu distruktur semula dengan kadar segera. Ini termasuk aspek pengeluaran, rantaian bekalan (supply chain), produktiviti dan kelestarian jangka panjang.

Data rasmi menunjukkan kebergantungan Malaysia terhadap makanan yang diimport agak tinggi. Pada 2018, nilai import makanan adalah RM54 bilion berbanding RM43 bilion pada lima tahun sebelumnya.

Walaupun Malaysia mampu mengeluarkan pelbagai hasil pertanian untuk memenuhi permintaan tempatan, kita masih bergantung kepada pembelian daripada negara lain untuk produk seperti beras, daging kambing, cili dan kobis.

Misalnya, walaupun beras adalah makanan ruji paling asas, 30 peratus daripada permintaan tempatan adalah diimport dari India, Thailand, Vietnam dan sebagainya.

Nilai 30 peratus mungkin nampak sedikit, namun jika dilihat dari aspek kuantiti, ianya cukup besar. Kebergantungan kepada sumber ikan import masih tinggi juga sekitar 30 peratus. Tanpa perancangan tuntas revolusi perikanan, self sufficiency tidak akan meningkat.

Kebergantungan kepada negara lain untuk makanan terutamanya makanan asas adalah serius. Jika ringgit kekal lemah, kita terpaksa membayar lebih untuk mengimport makanan. Hal ini akan memberi kesan kepada kos sara hidup.

Bukan itu sahaja, gangguan pengeluaran di negara lain juga akan memberikan kesan kepada Malaysia kerana kita tidak dapat mengimport seperti sebelumnya. Ekonomi negara yang semakin meleset akibat ketidakstabilan politik sejak pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga memberi kesan kepada harga barang makanan.

Justeru, Malaysia memerlukan Revolusi Pertanian Pintar di mana teknologi terkini seperti dron, Internet of Things dan vertical farming perlu dipopularkan bersungguh-sungguh.

Universiti dan graduan harus digerakkan untuk memacu revolusi ini. Imej pertanian sebagai industri yang sukar harus ditukar menerusi teknologi berproduktiviti tinggi bagi menarik minat anak muda.

Dalam ketika sektor pertanian negara terjejas akibat produktiviti yang rendah, kekurangan tenaga kerja tempatan bawah usia 40 tahun dan kekurangan tanah pertanian, Revolusi Pertanian Pintar ini dapat mengubah hala tuju industri ini.

Untuk aspirasi ini dijayakan, amat penting bagi kerajaan memperkenalkan cara-cara untuk memudahkan rakyat Malaysia terlibat dalam pertanian.

Bermula daripada penyediaan lebih banyak tanah pertanian, skim sokongan kewangan dan bukan kewangan, memudahkan permohonan dan pembaharuan lesen pertanian dan sebagainya, pendekatan kerajaan harus menyeluruh.

Walaupun Belanjawan 2021 ada menyentuh sedikit mengenai unsur-unsur Pertanian Pintar, tetapi malangnya usaha ini tidak serius.

Walaupun pertanian menyumbang lebih RM101 bilion kepada nilai ekonomi negara pada 2019, kerajaan PN hanya memperuntukkan RM10 juta untuk pembelian peralatan pertanian berasaskan Internet of Things.

Manakala, Program Pengembangan Akuakultur hanya dengan memberi peruntukan RM10 juta. Banyak bezanya jika dibandingkan dengan peruntukan untuk unit propaganda JASA sebanyak lebih RM80 juta.

Sewajarnya, peruntukan pembangunan pertanian seperti ini harus diberikan lebih tinggi kerana ia mampu menjana “multiplier effect” yang tinggi untuk ekonomi negara.

Saya juga menggesa agar kerajaan memberikan tumpuan segera yang lebih mendalam dan holistik terhadap masalah-masalah yang merencatkan pertumbuhan sektor pertanian negara.

Jika tidak, hidup susah petani dan nelayan akan berterusan walaupun subsidi diberikan, ia bukan penyelesaian revolusi pertanian yang komprehensif, apatah lagi menjamin keselamatan makanan (food security) negara.

 

*FAIZ FADZIL merupakan Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang.