Peruntukan RM118 juta laksana program podium baharu

Peruntukan RM118 juta laksana program podium baharu

Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM118 juta iaitu penambahan RM28 juta berbanding tahun lepas untuk pelaksanaan program latihan atlet kebangsaan 2019 yang baharu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata peruntukan tambahan itu dipersetujui selepas mengambil kira kedudukan kewangan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) iaitu dua badan yang memainkan peranan dalam melaksanakan program latihan atlet kebangsaan itu.

“Ada beberapa cadangan diketengahkan selepas melihat situasi kewangan MSN dan ISN yang menyebabkan kita terpaksa mengambil beberapa keputusan yang agak sukar.

“Sebaik keputusan dibuat, saya cepat-cepat berunding dengan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) untuk berbincang mengenai peruntukan tambahan yang berkait rapat dengan sukan berprestasi tinggi dalam melatih atlet yang bakal mewakili negara di pentas antarabangsa.

“Selepas perbincangan itu, dalam dua minggu lepas ada beberapa keputusan yang agak baik. Pertama sekali ada peruntukan tambahan yang diluluskan bagi sukan berprestasi tinggi,” katanya kepada pemberita pada sidang media program penstrukturan semula program latihan atlet kebangsaan di sini hari ini.

Beliau berkata, program latihan atlet 2019 yang akan terus mengekalkan nama Program Podium bagi memberi inspirasi kepada para atlet yang berada di bawah program itu untuk menaiki podium pada kejohanan dan temasya yang disertai.

“Program tetap kita akan namakan Program Podium. Sebab utamanya kita hendak pastikan fokus semua atlet adalah untuk pastikan mereka naik ke podium dan pada masa yang sama ada beberapa penambah baikan yang dibuat. Program ini  akan dikendalikan sepenuhnya oleh MSN dan memberi tumpuan kepada lima temasya sukan besar,” katanya.

Program Podium yang baharu itu membabitkan jumlah atlet kebangsaan keseluruhannya melibatkan 645 orang, terdiri daripada 503 atlet normal dan 142 atlet para dan daripada jumlah itu 133 orang adalah atlet Program Podium sedia ada; 409 atlet Kita Juara dan 103 atlet baharu yang tidak menyertai mana-mana program sebelum ini.

Program latihan itu memberikan tumpuan kepada lima temasya sukan utama iaitu Sukan Olimpik/Paralimpik Tokyo 2020; Sukan Komanwel Birmingham 2022; Sukan Asia/Para Asia Hanzhou 2022 serta Sukan SEA/Para Asean Manila 2019 dan Vietnam 2021.

Syed Saddiq berkata walaupun berlaku penstrukturan semula ke atas Program Podium, ia masih mengekalkan matlamat utama iaitu mendapatkan pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Ia masih sama, kita hendaklah capai pingat emas pertama pada Olimpik Tokyo 2020, dan pada masa yang sama, kita hendaklah perluaskannya… yang mengambil kira lima lagi temasya sukan.

“Tumpuan sasaran emas pada Sukan Olimpik masih sama cuma kali ini, penekanan khas juga diberikan kepada atlet muda agar mereka mempunyai ruang dan peluang untuk buktikan kemampuan mereka. Siapa tahu dalam kalangan mereka tersembunyi permata yang tiba-tiba boleh mencapainya,” katanya.

Di bawah Program Podium baharu itu, MSN diarah untuk memastikan keperluan latihan atlet seperti pendedahan pertandingan dan latihan, peralatan dan kejurulatihan dipenuhi mengikut keperluan program yang diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja bersama persatuan sukan.

Sebanyak 394 pendedahan pertandingan dan 154 pendedahan latihan di dalam dan luar negara telah diluluskan dan pada masa yang sama 113 program binaan melibatkan kem bina semangat dan kem motivasi juga dirancang.

Pihak ISN pula diminta untuk mempertingkatkan perkhidmatan Sains dan Perubatan Sukan yang diperlukan oleh atlet di bawah program berkenaan.

ISN juga meluluskan 185 perkhidmatan merangkumi biomekanik, analisis sukan, psikologi sukan, fisiologi sukan, pemakanan sukan dan suaian fizikal.- BERNAMA