Peruntukan RM2.5juta majukan perniagaan usahawan muslimah di Johor

Peruntukan RM2.5juta majukan perniagaan usahawan muslimah di Johor

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Usahawan Muslimah digalak merebut peluang memajukan perniagaan mereka menerusi peruntukan RM2.25 juta yang disediakan kerajaan negeri Johor, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata peruntukan itu boleh diperoleh daripada Skim Bantuan Usahawan Belia Islam yang dikendalikan Perbadanan Islam Johor.

Beliau berkata menerusi peruntukan itu, kerajaan negeri berharap golongan terbabit dapat membentuk kesepakatan dan bukannya persaingan dalam perniagaan Muslimah.

“Kita bersedia menjadi rakan kongsi bagi melaksanakan program-program bersesuaian yang bertujuan menggembangkan perniagaan mereka,” katanya pada majlis pelancaran persatuan dan logo Usahawan Muslimah Johor, di sini hari ini.

Selain kerajaan negeri, Zulkurnain berkata bantuan perniagaan turut disediakan agensi persekutuan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB).

Beliau berkata di peringkat negeri, mereka sememangnya komited meningkatkan kerjasama dengan pelbagai pihak melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kerana ia diyakini dapat memberi impak positif kepada rakyat.

“Sesungguhnya, meningkatkan ekonomi umat Islam adalah satu jihad yang besar dan perjuangan ini perlu diteruskan kerana ia secara tidak langsung akan memperkukuhkan umat Islam di Johor,” katanya.

Ditubuhkan sejak Oktober lepas, persatuan itu kini mempunyai seramai 200 anggota terdiri daripada pelbagai latar belakang peniaga.

CATEGORIES