Peruntukan RM3 juta dilulus Anwar bantu atasi masalah air di UMS, 6 telaga tiub siap digerudi

Oleh WAN SITI AMINAH

Masalah kekurangan bekalan air di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijangka bakal diselesaikan sepenuhnya pada akhir bulan Mac ini.

Hal ini berikutan enam telaga tiub yang dibina di UMS menggunakan dana RM3 juta diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu, sudah siap digerudi.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, projek untuk mengatasi kekurangan bekalan air itu dijangka siap mengikut tarikh ditetapkan pada 26 Mac ini.

Jelasnya, kontraktor projek kini sedang menyiapkan tangki takungan dan sistem penapisan air untuk semua telaga tiub selain pemasangan paip ke kolej kediaman pelajar, lapor Berita Harian.

“Alhamdulillah, buat masa ini proses menggerudi telaga tiub sudah siap sepenuhnya. Sekarang ini, kontraktor sedang membuat takungan serta penapis dengan pencapaian kerja setakat ini sudah 70 peratus.

“Pada masa sama, kita juga sudah melantik kontraktor untuk membuat pemasangan paip ke asrama (kolej kediaman pelajar) dan projek itu juga sedang dilaksanakan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar itu yakin penuntut UMS yang kembali memulakan sesi akademik selepas cuti semester ini tidak lagi berdepan masalah air sekiranya projek tersebut dapat disiapkan mengikut jadual.

Selain enam telaga tiub yang dibiayai dana diumum Perdana Menteri, dua lagi telaga tiub tambahan dibina menggunakan peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi, selain satu sudah siap atas inisiatif UMS sendiri.

“Kita mahu projek itu siap sepenuhnya, maknanya siap hingga air dari telaga tiub terbabit dapat digunakan oleh pelajar di kolej kediaman, bukan setakat siap menggerudi telaga tiub.” Ulasnya.

Terdahulu, projek telaga tiub dimulakan pada Januari lalu selepas pelajar UMS mengadu menghadapi kesukaran hingga tidak mandi berhari-hari disebabkan bekalan air terhad dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Baca juga: Wanita mengeluh beli alat tulis 5 anak sampai RM600, sekali netizen basuh, “pi beli jenama mahal pasaipa”