Malaysia Dateline

Peruntukan RM70 juta bagi penubuhan MPKKP di lima negeri

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM70 juta bagi penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) di lima negeri untuk tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata peruntukkan tersebut melibatkan pembayaran elaun kepada pengerusi dan setiausaha MPKKP di Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak.

“Sebanyak 8,587 MPKKP ditubuhkan dengan keanggotaan penuh seramai 111,631 orang bagi kelima-lima negeri ini. Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan pembayaran elaun sebanyak RM500 kepada pengerusi dan RM300 kepada setiausaha.

“Kita harap anggota MPKKP yang dilantik dapat menyalurkan maklumat yang lebih jelas mengenai dasar-dasar Kerajaan Persekutuan kepada rakyat terutama berkaitan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Mereka juga diharapkan dapat membawa suara akar umbi sehingga ke peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Pelantikan MPKKP Terengganu, di sini hari ini.

Selain itu katanya, kerajaan pada tahun ini juga memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi menyediakan geran pelaksanaan aktiviti atau program di kampung-kampung.

Katanya geran dengan nilai tidak melebihi RM10,000 bagi setiap MPKKP itu boleh dipohon bagi program untuk meningkatkan ekonomi penduduk, kesejahteraan dan keceriaan kampung.

Bagi Terengganu pula katanya, sebanyak 1,046 MPKKP ditubuhkan di lapan parlimen di negeri ini.

Namun katanya, setakat ini hanya 624 pengerusi dan 636 yang telah dilantik, manakala baki jumlah MPKKP akan disemak semula berikutan terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan termasuk berkaitan teknikal.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Penyelaras MPKKP Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.