Malaysia Dateline

Peruntukan RMT rendah, pelajar akan disaji makanan tidak sihat

Belanjawan 2022 telah menunjukkan bahawa terdapat pengurangan yang drastik terhadap perbelanjaan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) iaitu dari 420 juta (2021) ke hanya 400 juta (2022).

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya Fakulti Pendidikan mempersoalkan adakah peruntukan ini dapat membekalkan pelajar dengan nutrisi dan gizi yang mencukupi?

Sedangkan, katanya peruntukan sebelum ini hanya dapat membekalkan susu untuk 2 kali seminggu tambahan pula, menurut rekod Surat Pekeliling BT 19, dengan rujukan KPM.100-1/4/2 Jld.2(25), dibawah tajuk “Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di Sekolah Rendah” peruntukan bagi RMT untuk miskin tegar hanyalah sebanyak RM2.50 sehari bagi murid Semenanjung Malaysia dan RM3.00 bagi murid Sabah, Sarawak dan Labuan.

Jelasnya, peruntukan bagi RMT serendah ini pada tahun 2022 adalah tidak masuk akal dengan harga barang yang kian naik tanpa henti ini.

“Pihak pengusaha kantin terpaksa menggunakan bahan-bahan masakan yang berkualiti rendah demi menepati bajet diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan dan sekolah-sekolah.

“Oleh demikian, peruntukan bagi RMT haruslah dipertingkatkan bagi menyaji pelajar dengan bukan sahaja makanan yang sihat bagi pelajar miskin tegar, tetapi secara khususnya semua pelajar mendapat khasiat secukupnya untuk menjalani pembelajaran,” katanya dalam kenyataan.

Bakal guru itu juga mempersoalkan di manakah rasional Kementerian Kesihatan Malaysia mempromosi “badan sihat, otak cergas” apabila pelajar tidak mendapat khasiat yang secukupnya?

Selain itu bagi Peruntukan Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar bagi mereka tidak muhasabah apabila jumlah yang diberikan iaitu sedikit RM100 amatlah tidak logik akal fikiran.

“Set kamera webcam dan mikrofon berkualiti rendah telah memakan paling kurang RM50 untuk menjalani PdPR.

“Belum lagi dipertimbangkan lagi aplikasi-aplikasi pembelajaran atas talian yang dapat menarik minat pelajar yang terpaksa guru-guru tanggung agar kehadiran pelajar di kelas atas talian sentiasa penuh telah
membebankan ratusan ringgit jikalau bukan ribuan ringgit.

“Infrastruktur kemudahan Wi-Fi di rumah juga rata-rata yang dipunyai oleh guru juga terpaksa dinaik taraf kerana keperluan PdPR yang memerlukan internet yang stabil dan laju,” katanya lagi.

Justeru katanya sebagai wakil mahasiswa pendidikan serta pelajar dan murid dari prasekolah sehingga sekolah menengah menggesa kritikan dan cadangan kami ini dapat dipertimbangkan.

“Kami menuntut Belanjawan 2022 ini haruslah diperhalusi kembali, dan Belanjawan 2023 haruslah menambahbaik yang sedia ada,” ujarnya.